Wednesday, June 11, 2014

KIT SIANG GESA CINA DI MALAYSIA TOLAK HUDUD?


Kuala Lumpur, 11 Jun - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Presiden MCA dan juga Presiden Gerakan menolak untuk menyertai kabinet kerajaan BN selagi mana UMNO menyokong perlaksanaan Hudud yang dibawa oleh PAS. 

Beliau berkata, Presiden kedua-dua parti komponen BN tersebut perlu menolak segala jawatan jika UMNO masih bercadang untuk melaksanakan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri. Lim Kit Siang berkata demikian ketika mengulas laporan yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik telah menghantar usul pelaksanaan hudud di Selangor kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula minggu depan.

“Mereka harus meminta Najib menangguh rombakan kabinet dan bertegas MCA dan Gerakan tidak akan menyertai kabinet selagi Umno tidak beri jaminan tidak akan meneruskan rancangan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri". 

Kit Siang juga mahu MCA dan Gerakan masing-masing mendesak UMNO supaya member jaminan terlebih dahulu untuk mengenepikan Hudud jika mahu kedua-dua parti yang dianggotai oleh masyarakat Cina tersebut menyertai barisan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. “Pilihan kini di tangan mereka, sama ada mereka bersedia untuk mengambil pendirian tegas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kedua-dua Presiden parti komponen BN itu dijangka bakal mendapat jawatan menteri dalam rombakan kabinet yang dikatakan akan diadakan sebelum Ramadan ini. Ketika ini, tiada seorang pun daripada MCA dan Gerakan yang dalam barisan jemaah menteri, ekoran kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13. Tindakan Lim Kit Siang ini jelas menunjukkan bahawa beliau mahu semua masyarakat Cina di Malaysia menolak hukum Hudud dari dilaksanakan di Malaysia.

PKR SAMA PKR PUN BERGADUH MACAM MANA NAK TADBIR NEGARA


PETALING JAYA: Pemimpin kontroversi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mencabar Badrul Hisham Shaharin supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan pembabitannya dalam politik wang pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. 

Berkeras enggan menafikan dakwaan dibuat Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard itu, calon Timbalan Presiden parti itu sebaliknya mengakui dirinya menjadi mangsa 'politik iri hati' oleh sebilangan kecil ahli parti. "Bagaimana saya nak nafi kerana tidak ada apa yang perlu dinafikan. Tidak ada sebarang tuduhan (rasuah) terhadap saya.

"Yang ada hanyalah dakwaan yang semata-mata dakwaan. Sesiapa sahaja boleh buat dakwaan, anda juga bebas untuk buat dakwaan terhadap saya jika tak suka saya," katanya. Malahan, Azmin turut mempersolkan kredibiliti pemimpin akar umbi seperti Chegubard yang berterusan membuat dakwaan namun gagal mengemukakan bukti kukuh. 

"Ini sebuah parti reformasi dan sudah pasti kita ingin lihat setiap tindakan yang diambil mestilah telus dan jelas. "Jika ada bantahan atau dakwaan, kemukakanlah bukti kepada pihak yang bertanggungjawab untuk diambil tindakan lanjut...ikut saluran yang betul," katanya.

GOLONGAN MUDA PROFESIONAL KUATKAN BN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib menyatakan keyakinan beliau bahawa Barisan Nasional kini telah menemui kaedah baru untuk menguatkan parti tersebut bagi persiapan menghadapi PRU 14 nanti. Najib mendedahkan, BN kini menyasarkan golongan muda profesional untuk dijadikan sebagai jurucakap parti serta memujuk golongan muda negara menyokong kerajaan.

Menurutnya, untuk permulaan, BN mensasar 10 individu untuk diketengahkan dan dijadikan jurucakap dalam isu panas seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan isu lain yang selama ini menyelubungi kerajaan BN. Kemasukan terus golongan muda ke dalam BN kini sedang dipertimbangkan oleh perdana menteri dan pemimpin kanan BN untuk menarik bakat-bakat baru. 

Beliau menyifatkan kemasukan golongan muda ini dapat membantu kerajaan dalam memacu hala tuju dan masa depan negara dengan lebih baik pada masa akan datang. Beliau juga yakin bahawa dengan kaedah baru ini secara tidak langsung akan membantu BN untuk memenangi PRU 14 nanti kerana kecenderungan pengundi muda ketika ini dilihat sudah kembali menyokong parti BN. 

Najib juga berharap dengan penyertaan golongan muda profesional ini, BN akan lebih mudah untuk didekati oleh generasi muda di negara ini. Menurut beliau, golongan muda di negara ini mahukan kebebasan, hak dan ketelusan yang lebih. Mereka juga mahukan pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi dilihat bersih. 

Mereka menolak rasuah dan membenci cara sesetengah pemimpin politik memperagakan kemewahan hidup mereka. Menurut Najib lagi, penyertaan golongan muda profesional ini sekaligus dapat meyakinkan lagi golongan muda di negara ini untuk menyokong BN dalam menghadapi PRU 14 nanti. SUMBER

Tuesday, June 10, 2014

HANYA KERANA RM50, ANAK BERTINDAK GANAS


KUALA TERENGGANU - Angkara RM50! Seorang anak bukan sahaja tergamak memaki hamun bapanya, malah turut bertindak agresif dengan menendang serta merosakkan pintu rumah mereka sehingga berlubang apabila kehendaknya itu tidak dipenuhi warga emas tersebut. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam, di Kampung Bukit Tunggal, di sini, Sabtu lalu. Menurut sumber, sebelum insiden berlaku, mangsa yang berusia 64 tahun sedang berehat bersama isterinya berusia 60-an, di kediaman mereka dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan kepulangan suspek.

“Suspek yang berusia 25 tahun itu dalam keadaan marah-marah memaksa mangsa menyerahkan wang RM50 kepadanya sambil menendang pintu bilik, bagaimanapun, tidak lama kemudian keadaan kembali senyap. “Mangsa yang menyangkakan suspek sudah beredar, keluar untuk membuat pemeriksaan dan ternampak anaknya itu sedang berada di dalam bilik sebelum suspek tiba-tiba keluar sambil membawa sesuatu di tangannya,” katanya.

Jelas sumber, terkejut dengan situasi itu serta bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa terus menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam biliknya sambil mengunci pintu sebelum terdengar bunyi ketukan di pintu biliknya, dipercayai menggunakan sebatang tukul. “Tindakan suspek itu telah menyebabkan papan bilik mangsa rosak serta berlubang dan melihatkan keadaan anaknya yang semakin agresif itu, warga emas berkenaan nekad menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. 

“Namun, sejurus mengetahui bapanya menghubungi polis, anak derhaka itu melarikan diri menggunakan motosikal milik mangsa,” katanya. Sumber berkata, sebelum ini, suspek dikatakan pernah menggadaikan motosikal jenis Yamaha 125Z milik salah seorang adik-beradiknya kepada pengedar dadah. Jelasnya lagi, difahamkan suspek kerap mengugut mangsa sekiranya ingin mendapatkan wang dan tindakan itu menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, kerana tidak sanggup melayan kerenah suspek, selain bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang. 

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Mengamuk kerana gagal dapat RM30 Sementara itu, di Dungun, hanya kerana kehendaknya untuk mendapatkan wang RM30 tidak dilayan, seorang abang seolah-olah ‘hilang akal’ apabila mengamuk dengan mengugut mahu membunuh adik tirinya, dalam satu kejadian di Kampung Sungai Buaya, Sabtu lalu. 

Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berehat di rumah mereka sebelum dihampiri suspek, 30-an, dengan selamba meminta wang RM30. “Bagaimanapun, mangsa yang sudah lali dengan perangai abangnya itu yang selalu meminta wang, tidak menghiraukan permintaan tersebut menyebabkan lelaki terbabit naik angin. 

“Suspek yang bagaikan dirasuk itu dalam masa sama bertindak agresif apabila mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya masih berdegil tidak mahu menyerahkan wang yang diminta,” katanya. Jelas sumber lagi, difahamkan kejadian seumpama ini sudah kerap kali berlaku, yang mana suspek akan bertindak mengugut menggunakan senjata bagi menakutkan mangsa setiap kali meminta wang. 

“Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang sudah tidak tahan lagi berdepan dengan situasi tersebut serta dalam masa sama bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun bagi tindakan pihak berkuasa,” katanya. 

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kini usaha memburu suspek sedang giat dijalankan. Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

MALAYSIA MAHU WUJUDKAN POLIS SYARIAH BAWAH JAKIM


Putrajaya, 10 Jun - Kementerian Dalam Negeri kini bersedia menempatkan anggota Polis serta Pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Polis Syariah untuk membantu Jabatan berkenaan menangani kes-kes berkait dengan umat Islam di Malaysia. 

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, PDRM hanya menunggu Jabatan Perkhidmatan Awam mewujudkan jawatan berkenaan di JAKIM dan PDRM yakin mampu mengisi kekosongan berkenaan. Menurut beliau, PDRM mempunyai pegawai dan anggota yang bersesuaian untuk menggalas tugasan tersebut. Beliau berkata, langkah ini sekaligus dapat membantu JAKIM mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga kesucian agama Islam di negara ini. 

"Ramai anggota polis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ada yang memiliki ijazah daripada universiti tempatan atau luar negara dalam bidang agama dan kami bersiap siaga untuk menempatkan pegawai kami ke Jakim," katanya dalam sidang media di sini Isnin. Zahid juga berkata, tiada tempoh yang ditetapkan untuk penempatan anggota PDRM di JAKIM itu dan menyerahkan usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi perjawatan itu daripada JPA kepada JAKIM. 

Zahid berkata, sebelum ini terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan polis syariah sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan. Zahid sebelum itu menghadiri majlis makan tengah hari dan ceramah bersama Ulama Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah bersempena kunjungan hormat imam dan khatib Masjid Saidina Jaafar, Jordan, di kementeriannya semalam. 

Beliau menyifatkan penempatan anggota PDRM sebagai Polis Syariah itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan JAKIM dalam membanteras semua kesalahan jenayah syariah di negara ini. -SUMBER

MAUT DIBAHAM ANJING JIRAN


DUA wanita di Britain dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas anjing mereka dibiarkan kelaparan selama 45 jam membaham seorang lelaki. Anjing spesies Presa Canario milik Hayley Sulley, 30, dan Della Woods, 29, itu dipercayai menceroboh laman kediaman jiran mereka selepas ia tertarik dengan bau masakan stew daging yang disediakan mangsa dalam kejadian menggemparkan pada Mei tahun lalu. Clifford Clarke, 79, terpaksa bergelut dengan haiwan itu selama 15 minit sebelum ia ditembak mati pihak berkuasa. 

Bekas pesara tentera itu meninggal dunia di hospital akibat cedera parah. Seorang jurucakap polis turut menyifatkan kejadian itu adalah paling mengerikan sepanjang kerjayanya. Sementara itu, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, anjing tersebut sangat lapar kerana ia cuba untuk memakan bekas makanan plastik, puntung rokok, makanan burung dan minum air kotor sebelum menyerang Clarke.

Susulan daripada kejadian itu, Liverpool Crown Court turut melarang mereka memelihara anjing pada masa akan datang. Hakim Mark Brown memberitahu Sulley dan Woods amat bernasib baik kerana kedua-dua wanita tersebut tidak didakwa melakukan pembunuhan seperti yang terkandung dalam undang-undang baharu di negara itu. 

“Mereka mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara 14 tahun jika disabit kesalahan,’ katanya lagi dipetik Daily Mail. Difahamkan, hukuman lebih tegas telah diperkenalkan di England dan Wales, bulan lalu susulan daripada kematian mengerikan akibat serangan anjing yang meningkat di kedua-dua kawasan terbabit. Hukuman penjara maksimum kerana menyebabkan anjing menyerang individu lain hingga menyebabkan kematian telah dilanjutkan dari 24 bulan kepada dua tahun.

ZAIRIL CEMBURU TPM GUNA PESAWAT KHAS KERAJAAN


Kuala Lumpur, 10 Jun - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Australia yang disifatkan lebih kepada makan angin. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri itu hanya meluangkan masa selamat empat hari pertama di Melbourne, di mana beliau menghadiri Forum Ekonomi Dunia Ke-4 dari 10 November sehingga 18 November 2012. 

Menurut Zairil, Muhyiddin telah bergegas bersama rombongannya ke Gold Coast, Brisbane, setelah selesai program Forum Ekonomi Dunia Ke-4 tersebut. "Dalam empat hari penuh dihabiskan di Gold Coast, aktiviti TPM hanya sekitar dua jam sehari secara purata. "Kebanyakan aktiviti ini pula merupakan taklimat ringkat selama satu jam dam majlis makan malam yang santai, pertemuan dengan pelajar dan Kelab Umno.

Tambah beliau, lawatan TPM ini bukan sahaja hanya dipenuhi dengan lawatan peribadi tetapi turut menafikan kakitangan kementerian apabila tiada penglibatan mereka dalam kedua-dua lawatan rasmi TPM. Menurut Zairil lagi, rombongan Muhyiddin itu disertai 17 orang yang terdiri daripada enam pegawai peribadi, lima pegawai khas, dua setiausaha akhbar, masing seorang setiausaha sulit dan setiausaha politik termasuk beliau dan isterinya.

Zairil juga turut mempersoalkan mengapa Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan pesawat khas kerajaan dan juga menginap di hotel mewah sepanjang lawatan 4 hari berkenaan. 

Namun begitu, tindakan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera ini dilihat seolah-olah sengaja mahu menjatuhkan imej serta kredibiliti Timbalan Perdana Menteri tersebut kerana mempersoalkan lawatan kerjanya namun tidak pula mempersoalkan kredibiliti Anwar Ibrahim yang selama ini sering melancong ke luar negara kononnya untuk urusan negara sedangkan Anwar hanyalah sekadar Ahli Parlimen Permatang Pauh sahaja.

POLIS SANGKAL LAPORAN PORTAL MALAYSIAKINI


Pulau Pinang, 09 Jun - Pihak Polis di Raja Malaysia (PDRM) hari ini menyangkal laporan portal berita Malaysiakini bahawa seorang tahanan lokap yang mati ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam semalam, Tahanan tersebut ditangkap kerana disyaki menghisap dadah di dalam kilang tempatnya bekerja di Perai, pada 2 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Baharom Abu berkata, sebaliknya, SN Aginraj, 26, bukan bekerja di kilang tersebut dan ditahan oleh pengawal keselamatan serta rakannya kerana mencuri 12 ketul besi di premis itu. Kata beliau, berlaku pergelutan semasa kejadian sehingga mengakibatkan lelaki tersebut mengalami kecederaan.

"Ketika polis sampai, terdapat kecederaan pada tubuh Aginraj. Aginraj bersama rakannya, N. Mohanraj, 31, kemudian direman pada 3 Jun dan keesokannya, Aginraj dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam kerana diserang sawan," katanya. Baharom berkata, pada 6 Jun lalu, Aginraj telah dituduh di Hospital Bukit Mertajam ketika masih menerima rawatan dan dia mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan sebelum diikat jamin sebanyak RM8,000.

"Keluarganya memaklumkan mereka akan mengusahakan untuk mencari wang jaminan dan pada pagi semalam, polis mendapat panggilan bahawa Aginraj telah meninggal dunia di hospital pada pukul 7.05 petang," katanya. 

Terdahulu, dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Baharom mengesahkan bahawa hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Pulau Pinang yang diketuai Datuk Dr. Bhupinder Singh mendapati kematian Aginraj berpunca daripada Hypocix Elcephalopathy Following Epileptic Fits atau sawan yang menyebabkan kesukaran bernafas. SUMBER

MCA MAHU JAWATAN MENTERI


Kuala Lumpur, 09 Jun - Wakil MCA mendakwa jawatan Menteri kepada pemimpin MCA akan mampu menarik balik sokongan kaum Cina kepada BN dan juga kerajaan. Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata penyertaan kembali MCA didalam kabinet kerajaan akan membuktikan bahawa kaum cina mempunyai pemimpin yang mampu membuat dasar kerajaan, dan ia akan mengembalikan kepercayaan kaum cina terhadap BN dan juga Perdana Menteri. 

Beliau mendakwa, penyertaan semula MCA ke dalam Kabinet adalah penting kerana ini akan membantu Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam parti itu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam menyelesaikan kes serta meneruskan usaha-usaha menangani masalah rakyat khususnya masyarakat Cina di negara ini. Katanya, ketika ini biro berkenaan menghadapi sedikit kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat memandangkan ketiadaan wakil MCA di Kabinet dan perkara itu perlu ditangani. 

Beliau yang berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melantik wakil MCA ke dalam Kabinet berkata langkah itu akan meringankan tugas Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Menurut Michael, kemasukan wakil MCA ke Kabinet juga penting dalam memastikan kelangsungan parti memandangkan masyarakat Cina kini sudah mula kembali menyokong BN. 

"Terdapat keperluan bagi MCA mempunyai seorang menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet untuk melaksanakan khidmat itu. Persatuan Cina, ahli perniagaan juga datang kepada kami dan berpendapat agak sukar tanpa MCA (dalam Kabinet)," katanya kepada pemberita selepas satu ceramah tentang jabatan berkenaan di sini semalam.

Bagaimanapun, sebelum ini sokongan kaum cina kepada kerajaan merosot biarpun MCA dan Gerakan mempunyai beberapa tempat didalam pentadbiran negara. "Namun kita berserah kepada pertimbangan Perdana Menteri dalam menentukan kedudukan MCA di Kabinet kerana yang penting adalah MCA mempunyai wakil," katanya. SUMBER

KIT SIANG MARAH DILABEL RASIS


Kuala Lumpur, 09 Jun - Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan pihak berkuasa kerana membiarkan dirinya dilabelkan sebagai rasis oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia. Beliau mendakwa sikap pihak berkuasa yang berdiam diri dan seolah-olah memberi ‘lesen penuh’ kepada beberapa pertubuhan mendakwa dirinya rasis. 

Kit Siang juga mempertikaikan mengapa pihak berkuasa begitu tegas mengambil tindakan terhadap pembangkang jika mereka melakukan kritikan serta serangan jahat seumpama itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Adakah polis dan Peguam Negara akan berdiam diri dan membenarkan pembohongan, kepalsuan dan fitnah dibuat secara terbuka terhadap Najib?" 

"Apakah respons pihak berkuasa jika ada pertubuhan bukan-Melayu yang bersikap seperti Isma dengan terbuka menyerang Najib sebagai anti-Cina dan anti-India, serta menuduhnya mahu menghapuskan orang Cina dan India di Malaysia? 

Mengapa mereka tidak berbuat apa-apa terhadap racauan fitnah dan adu-domba yang dibuat Isma?" katanya dalam satu kenyataan Kit Siang berang apabila Pertubuhan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) mendakwa Kit Siang memusuhi Melayu sejak dari tahun 60-an dan menyifatkan DAP sebagai barah didalam politik Malaysia. 

Walau bagaimanapun, Kit Siang menyifatkan bahawa serangan ISMA keatas dirinya itu tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya kerana beliau yakin sehingga ke hari ini beliau masih mendapat sokongan yang padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Menurut Kit Siang lagi, ratusan penyokongnya didalam laman-laman sosial menasihati beliau supaya mengambil tindakan menyaman ISMA.

"Ada ratusan reaksi di internet mengenai tuduhan liar Isma dan menasihati saya agar jangan pedulikan Isma dan ada pula yang menggesa saya menyaman mereka. Saya berterima kasih terhadap sokongan ini." Kit Siang turut memaklumkan akan menunggu nasihat peguam berhubung kemungkinan tindakan undang-undang terhadap NGO itu. SUMBER

Friday, June 6, 2014

TINDAKAN JAIS SERBU UPACARA PERKAHWINAN HINDU TEPAT - PROF. DR. AZNAN HASAN


Bangi, 06 Jun - Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Prof Madya Dr Aznan Hasan menyokong tindakan JAIS menghentikan upacara perkahwinan hindu dan menyifatkan menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutamanya institusi agama mencegah supaya tidak berlaku perkara bertentangan dengan syarak, iaitu perkahwinan wanita Islam dengan pasangan bukan Islam. "Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa. 

Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan. "Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam," tegasnya. Dr. Aznan menjelaskan, siasatan JAIS itu adalah untuk memastikan adakah wanita tersebut seorang muslimah yang sebenar atau muslimah sekadar pada nama seperti yang didakwa olehnya.

"Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu langkah saddu al-zarai’ (menghalang daripada berlaku satu kemungkaran)," katanya lagi. Beliau turut membidas kenyataan NGO liberal, Sistera in Islam (SIS) apabila menganggap punca hal itu berlaku adalah kerana adanya hukum syarak yang meletakkan pengislaman agama bagi anak bawah umur apabila salah seorang (satu pihak) dari ibu bapa masuk Islam. 

Menurut beliau, dalam kes ini, kita perlu membezakan antara hukum syarak dan kesalahan yang dilakukan oleh bapa tersebut (jika ada), dan jelas dalam syarak apabila salah seorang ibu bapa masuk Islam maka anak-anaknya turut akan masuk Islam. "Tetapi dalam hal ini yang menjadi masalah adalah bapa tersebut tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik serta seorang bapa yang bertanggungjawab. Isunya pada bapa bukannya pada hukum syarak.

"Jadi penyelesaian dalam kes ini adalah dengan kita bersama-sama memperbaiki sistem pengurusan muallaf (orang yang baru masuk Islam). "Ianya bagi memastikan mereka mendapat didikan dan panduan yang menyeluruh supaya mereka menjadi seorang muslim yang baik dan bertanggungjawab dengan itu kes seperti ini tidak akan berulang," ujarnya lebih lanjut. 

Beliau yang juga merupakan Prof Madya di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menganggap tindakan Jabatan Agama tersebut sebagai satu langkah mencegah kemungkaran. SUMBER

Thursday, June 5, 2014

PRO PAKATAN MARAH NAJIB SAMAN MALAYSIAKINI?


Kuala Lumpur, 5 Jun - Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman keatas portal Malaysiakini yang memfitnah beliau berhubung krisis Umno Terengganu, satu NGO pro Pakatan mengecam Najib dan menyifatkan Perdana Menteri itu sebagi seorang yang zalim terhadap media. 

Jurucakap Gerakan Media Marah (GERAMM), Fazallah Pit mendakwa, Najib sengaja mahu memberi tekanan kepada media dan tidak mengamalkan kebebasan bersuara di negara ini. “Najib menggunakan isu teknikal untuk ambil tindakan terhadap Malaysiakini. “Tindakan ini ialah satu bentuk tekanan kepada media,” tegasnya. 

Fazallah yang tidak pernah pertikaikan Ketua Umum parti Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim yaang menyaman Utusan Malaysia sebelum ini menyifatkan bahawa tindakan Datuk Seri Najib ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional benar-benar mengawal media di negara ini dan mengambil tindakan kepada mana-mana media yang tidak mengikuti beliau. 

Faazallah Pit juga turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri itu tidak menggunakan ruang yang diberi portal berita tersebut untuk membuat penafian terhadap artikel yang disiarkan. “Kenapa beliau tidak menggunakan ruang yang disediakan oleh Malaysiakini untuk memberi penjelasan berhubung isu yang disiarkan itu?” soalnya. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel yang berunsur fitnah pada Mei lalu. Najib selaku plaintif kedua mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini atas kapasiti peribadi beliau manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Mei lalu, mereka menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. Pengurusan kes ditetapkan pada 18 Jun depan. SUMBER

PKR BANTAH SISTEM SUBSIDI MINYAK


Kuala Lumpur, 05 Jun - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli membantah cadangan sistem subsidi baru petrol dan diesel yang diwar-warkan akan dilaksanakan pada awal september nanti. Rafizi mendakwa sistem baru tersebut akan membebankan rakyat dan juga kemungkinan akan mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel. Sebelum ini, terdapat ura-ura dari kerajaan untuk melaksanakan sistem bru pengurusan subsidi minyak.

Antara yang dipertimbangkaan ialah pemansuhan subsidi bagi rakyat berpendapatan RM5000 keatas dan juga kenderaan 2000cc dan keatas. Rafizi mendakwa perkara tersebut akan disembunyikan oleh Putrajaya tanpa mengumumkan kenaikan harga minyak tetapi jumlah isipadu yang dibeli pengguna akan kurang. "Pengguna akan mendapat isipadu petrol atau diesel yang lebih sedikit pada harga yang sama walaupun tiada sebarang kenaikan harga minyak akan diumumkan oleh Barisan Nasional," katanya. 

Menurut Rafizi, tindakan kerajaan melaksanakan sistem subsidi baru bagi membanteras penyeludupan minyak ini hanyalah satu usaha yang sia-sia kerana ianya akan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat melakukan penyeludupan minyak bersubsidi ini. 

"Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa. 

"Contohnya jika harga subsidi seliter petrol RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 seliter, pasaran gelap boleh berlaku apabila kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 seliter kepada ejen pasaran gelap, manakala ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 seliter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli melalui pasaran gelap," ujarnya. 

Pengarah Strategi PKR itu menyifatkan bahawa penyeludupan minyak bersubsidi ini akan sentiasa berlaku kerana ketamakan rakyat menjadi orang tengah menjual minyak subsidi yang diperuntukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat ke pasaran gelap. SUMBER

Wednesday, June 4, 2014

PKR MAHU GURU KIBAR BENDERA DAP


Kuala Lumpur, 04 Jun - Amaran yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan kepada guru-guru yang membawa bendera DAP semasa pilihanraya kecil Teluk Intan lalu dikecam hebat oleh PKR yang mahu guru-guru diberi kebebasan berpolitik sepenuhnya. Pengarah Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang menyifatkan perbuatan Kementerian Pendidikan itu sangat tidak bertamadun dan hanya akan membuatkan mutu guru di negara ini merosot. 

Ini tindakan terkebelakang, kementerian tidak seharusnya menyekat kebebasan guru untuk menyatakan pendirian mereka. "Dengan sekatan itu, bermakna Kementerian sedang menjadikan mutu guru merosot," kata Abbas. Beliau mendakwa tindakan kementerian tersebut dilakukan atas arahan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang dikatakan memanipulasi intitusi pendidikan dinegara ini. 

Beliau juga mendakwa bahawa pendidikan di negara ini merosot ialah kerana tindakan kejam kerajaan menyekat kebebasan guru-guru untuk bersuara serta berpolitik. Beliau turut mendakwa Barisan Nasional sudah mula merasa tertekan dengan sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada PKR yang diberikan oleh para guru-guru serta penjawat-penjawat awam lain. 

Jelasnya, arahan itu dikeluarkan akibat ketakutan dan rasa terancam BN terhadap sokongan guru dan penjawat awam terhadap kemaraan Pakatan Rakyat. “Inilah punca kualiti pendidikan kita merudum, ada pihak lebih utamakan kuasa politik berbanding berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan negara,” tegas Abbas. Menurut beliau, PKR akan terus berjuang bagi membela nasib guru-guru yang berani melibatkan diri dalam membantu PKR serta Pakatan Rakyat melawan ketidakadilan yang berlaku di negara ini. SUMBER

DYANA ANGGAP DAP KELUARGA SENDIRI


Walaupun kalah di pilihanraya kecil Teluk Intan, calon DAP Dyana Sofya menolak untuk meninggalkan DAP kerana parti itu sudah dianggap seperti keluarganya sendiri. Beliau mendakwa, tujuan menyertai DAP adalah untuk berkongsi cita-cita dan misi melihat negara berada di tahap lebih baik. 

"Saya tidak pernah rasa semangat sebagai rakyat Malaysia sehinggalah saya menyertai DAP," katanya dalam satu kenyataan media. Ketika mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang mendakwa beliau percaya Dyana Sofya akan meninggalkan parti pembangkang itu, Dyana berkata, pengalamannya sepanjang menyertai DAP tidak sama dengan Tunku Aziz dan tidak pernah berhasrat untuk memegang jawatan tinggi dalam parti.

"Mungkin jika Tunku Aziz luangkan lebih banyak masa dengan DAP dan akar umbinya, saya yakin dia juga akan bersetuju dengan kenyataan ini." Menurut Dyana Sofya, berbeza pendapat tidak bermakna perlu tinggalkan parti apabila perselisihan timbul. "Tidak seperti yang lain, saya jauh lebih meyakinkan tidak keluar parti hanya kerana saya gagal diundi, dilantik atau tidak puas hati dengan kenduri kahwin," katanya.

Dyana menyifatkan bahawa dirinya bukanlah seorang yang tiada pendirian seperti bekas-bekas ahli lain yang keluar parti kerana tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara. Menurut Dyana, beliau tidak pernah melihat DAP sebagai satu parti politik tetapi lebih kepada keluarga yang menyedarkannya tentang menjadi rakyat Malaysia sejati.

Dyana juga menyifatkan bahawa parti DAP adalah satu-satunya parti yang paling adil dan mempunyai perjuangan Malaysia sejati. "Saya menyertai DAP sebagai ahli biasa selepas mengenali anggota dan pemimpinnya. Saya faham dan mengagumi perjuangan pemimpinnya, prinsip dan budaya yang pelbagai", ujar Dyana. Anak kepada wakil Umno ini juga menganggap pemimpin DAP sebagai idola beliau serta menyanjungi perjuangan mereka untuk menghapuskan perbezaan kaum di negara ini. -SUMBER

Tuesday, June 3, 2014

NURUL IZZAH KECAM KERAJAAN BAGI BR1M?


Kuala Lumpur, 03 Jun - Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menuduh kerajaan menjadi punca peningkatan penduduk miskin di seluruh negara. Nurul juga menyatakan bahawa pemotongan subsidi menyebabkan rakyat menjadi semakin miskin selain daripada pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysiia (BR1M) yang dikatakan tidak mampu membantu rakyat langsung. 

Nurul Izzah mendakwa kajian-kajian dari dalam dan luar negara banyak mengupas dan mengulas punca kemiskinan di Malaysia adalah datang daripada penggubalan polisi yang mencengkam kehidupan rakyat. Tambah Nurul Izzah lagi, pemotongan subsidi tersebut juga meningkatkan kadar kemiskinan bangsa Cina dan India di bandar dan luar bandar, walaupun kesannya tidak begitu mendadak dibandingkan dengan golongan Bumiputra. 

Menurut beliau, kesan pemotongan subsidi bahan api, kajian itu mendapati pertambahan sebanyak 37.5% daripada Bumiputra bandar dan 23.3% daripada Bumiputra luar bandar akan berada dalam risiko miskin tegar kerana pemotongan subsidi itu. Mereka ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi sekiranya terjadi kejadian yang tidak disangka seperti bencana alam atau kematian pencari nafkah. 

Beliau berkata, kerajaan perlu disalahkan kerana menggalakkan penerima bantuan ini kekal miskin kerana digula-gulakan dengan bantuan seperti ini. Beliau menegaskan, Malaysia perlu berfikir tentang bagaimana memperkasakan rakyat untuk mengeluarkan diri mereka sendiri daripada perangkap kemiskinan. 

Nurul Izzah juga berkata, BR1M dikenal pasti sebagai pemberian yang tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada perangkap kemiskinan yang bakal menanti. Anak perempuan Anwar ini juga meramalkan rakyat miskin akan bertambah jika kerajaan tidak mengubah polisi mereka demi rakyat. -SUMBER

KETUA PENERANGAN KEADILAN KECAM JAKIM ISU DNA BABI DALAM CADBURY


Kuala Lumpur, 03 Jun - Ketua Penerangan Keadilan, Muhammad Nur Manuty berkata, JAKIM seharusnya bertindak profesional bagi menyelesaikan kemelut DNA babi yang didakwa terdapat dalam kandungan coklat jenama Cadbury. Menurut beliau, badan tersebut merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan tanda halal bagi produk makanan untuk umat Islam. 

“Contohnya dah jadi sekarang ni, coklat Cadbury sekejap kata haram, hari ini kata halal. Pastinya ia meragukan masyarakat Islam. Jadi perkara seperti ini perlu diambil kira,” ujarnya. Nur Manuty berkata JAKIM tidak wajar membuat keputusan terburu-buru menghalalkan setelah mengharamkan coklat tersebut kerana ia akan meragukan umat Islam di negara ini sekaligus akan menyebabkan hilang kepercayaan kepada badan berkenaan.

Sementaara itu, dalam satu sidang media semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan dua produk Cadbury yang dilaporkan mengandungi DNA babi kini disahkan bebas daripada unsur haram berdasarkan analisis dijalankan Jakim. Menurut Datuk Seri Jamil Khir, kedua-dua sampel coklat tersebut diambil dari kilang pengeluar produk itu di Shah Alam dan disahkan halal setelah membuat analisis yang terperinci dari Jabatan Kimia. 

Menurut beliau lagi, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury. Jamil Khir juga menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam soal halal haram di negara ini. "Kerajaan tidak melindung mana-mana pihak sebab bukan ringan nak tanggung soal halal haram ini". -SUMBER

PADLOCKS LOVE SETIAP PASANGAN


Beribu - ribu kunci mangga telah di kunci boleh dilihat dilekatkan pada pagar di seberang jambatan Hohenzollornbruecke di Cologne , Jerman. 



Fenomena yang dikenali sebagai kunci cinta (PADLOCKS LOVE) ,yang dipercayai berasal dari Itali, merupakan satu 'vandelisma' dimana beribu-ribu pasangan meguncikan kunci mangga yang mengandungi nama pasangan kat situ, kononnya sebagai lambang cinta agung. 



Menurut Wikipedia, 'kunci cinta' telah wujud sekian lama , di Eropah, 'kunci cinta' dikatakan bemula pada tahun 2000 dan di Rom, upacara ini di jambatan Ponte Milvio dikatakan ada hubungkait dengan buku 'I Want You' yang di tulis oleh Federico Moccia yang kemudian di jadikan cerita dalam filem Ho Voglia Di Te.

Monday, June 2, 2014

LAGI DUYUNG DITEMUI????


Di Sacramento, California, satu bar di buka bertemakan ikan duyung, tapi bukan ikan duyung betul-betul ye , mana nak cari kan. hehe . Cuma gadis berpakaian ikan duyung yang berenang-renang macam ikan duyung. Jom tengok di sebalik tabir..

                           







DYANA MAHU MENETAP DI TELUK INTAN


Teluk Intan, 02 Jun - Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada Sabtu lepas menyaksikan kekalahan calon DAP Dyana Sofya kepada Datuk Mah Siew Keong yang mewakili BN. Namun menurut calon DAP itu, kekalahan yang dihadapi ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang didalam DAP bagi memastikan keadilan kepada semua rakyat tercapai. 

Calon DAP itu menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti disini sahaja sebaliknya akan terus menabur bakti kepada rakyat di Parlimen Teluk Intan bagi memastikan kemenangan di Parlimen Teluk Intan pada PRU ke-14 nanti kembali kepada DAP semula. Ini bukan penamat Dyana Sofya,” katanya.

Beliau menyifatkan bahawa kekalahanya ini disebabkan oleh taktik kotor yang dimainkan oleh BN sepanjang tempoh kempen berlangsung. Dyana yang baru menceburi bidang politik juga menyifatkan bahawa keegoan pengundi luar untuk pulang mengundi juga menyebabkan beliau tewas dalam PRK ini. 

Dyana ketika berucap sebaik keputusan, mengucapkan penghargaan kepada semua pengundi yang memberikan kepercayaan serta rakan-rakan yang membantunya menghadapi tohmahan jahat kempen Umno BN. Perasaan dukacita jelas terpapar oleh Dyana, sebaik keputusan tidak rasmi menunjukkan Dyana tewas kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

“Kepada semua pengundi dan pasukan kempen, terima kasih yang tidak terhingga. Saya tidak dapat membalas jasa anda semua. “Saya minta anda terus bersama saya dalam perjuangan ini,” katanya. “Terus terang kita kecewa kerana tidak dapat pertahankan kerusi Teluk Intan. Namun, ini bukan penamat kepada Dyana Sofya,” katanya lagi. SUMBER

MUST READ!! BERKENAAN DNA BABI


1. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kerana telah memberi keutamaan dalam pengujian sampel bagi dua produk coklat cadbury yang menjadi isu nasional berikutan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 yang lalu. 

2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 26 Mei 2014 telah mengambil kedua-dua sampel produk terlibat iaitu: i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2; dan ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 

3. Selain itu, Jakim juga turut mengambil empat (4) produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama dan lima (5) jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan. 

4. Kesemua sampel diambil dari kilang pengeluar produk tersebut yang beralamat di Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd., Persiaran Raja Muda, Seksyen 16, P.O. Box 7043, 40700 Shah Alam Selangor dan telah dihantar ke JKM pada hari yang sama. 

5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini (2 Jun 2014) telah menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia ke atas dua sampel produk keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. iaitu:
i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2; dan

ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 6. 

Keputusan analisis makmal adalah seperti berikut:
i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2 – DNA BABI TIDAK DIKESAN 

ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 – DNA BABI TIDAK DIKESAN

7. Walau bagaimanapun memandangkan perkara ini melibatkan tanggungjawab dan integriti pihak syarikat, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia. 

8. Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk tersebut dikembalikan.

9. Jakim juga akan mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan strategi pengurusan krisis sekiranya berlaku pengesanan DNA dalam sesuatu produk, oleh makmal mana-mana agensi kerajaan di masa-masa akan datang. 

10. Dalam masa terdekat, Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pemandu Halal yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan pakar-pakar berkaitan dengan halal bagi membincangkan isu-isu halal secara menyeluruh.

11. Seterusnya, Jakim akan merangka program kesedaran pengguna Islam bagi menjelaskan mengenai pensijilan Halal Malaysia dan isu hukum DNA porcine serta kesannya terhadap kepenggunaan. 

Sekian, terima kasih.
Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri 
2 Jun 2014

DYANA SOFYA KALAH SEBAB "MELAYU"?


Kuala Lumpur, 02 Jun - Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan yang berlangsung pada Sabtu lepas menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya iaitu Datuk Mah Siew Keong berjaya menewaskan lawannya Dyana Sofya yang mewakili DAP dengan majoriti 238 undi. Datuk Mah memperolehi 20,157 undi sementara calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat itu pula memperoleh 19,919 undi. 

Susulah kekalahan yang dihadapi oleh calon DAP itu, PAS menyifatkan golongan muda di negara ini berasa agak kecewa dengan kekalahan tersebut kerana kononnya mereka telah menaruh sepenuh harapan agar Dyana akan membawa’obor’ perjuangan politik baru ke arena politik Malaysia bersama-sama dengan pemimpin muda lain. 

PAS juga dalam pada itu menyifatkan bahawa Dyana hanya kalah di PRK Teluk Intan tetapi telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia yang tidak mengira bangsa dan kaum. Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, antara faktor-faktor yang menyebabkan calon DAP itu kalah pada PRK tersebut ialah mungkin kerana calonnya Dyana Sofya Mohd Daud adalah seorang Melayu. 

Beliau menyifatkan bahawa ahli-ahli DAP di kawasan tersebut masih belum boleh menerima idea meletakkan calon Melayu itu kerana peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini rendah iaitu 66.5 peratus berbanding kira-kira 80 peratus pada PRU lepas. Beliau juga menyifatkan kekalahan tersebut mungkin kerana calonnya muda dan tidak mendapat sokongan daripada golongan muda sendiri. 

Perkara ini jelas membuktikan bahawa terdapat keraguan didalam Pakatan Rakyat apabila pelbagai alasan-alasan yang bertentangan disuarakan berkenaan dengan kekalahan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat itu sendiri. Namun kesimpulannya disini ialah rakyat di kawasan Teluk Intan melihat BN sebagai sebuah parti yang ke depan untuk menyatakan suara rakyat dalam suasana politik negara ini. SUMBER

Sunday, June 1, 2014

PANAS!! DYANA DITOLAK DI TELUK INTAN


TELUK INTAN - Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan dengan majoriti 238 undi.

Siew Keong memperoleh 20, 157 undi manakala Dyana Sofya mendapat 19, 919 undi. PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional dan calon DAP. 

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Berikut keputusan penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan: 
KEPUTUSAN - PERAK: P076: TELUK INTAN P076:
TELUK INTAN: PERAK: 60,483 
1. Mah Siew Keong (BN).........................20,157
2. Dyana Sofya Mohd Daud (DAP).................19,919 
Jumlah Pengundi........................40,236 
Peratus................................67.4 %
Undi Ditolak...........................543 
Majoriti...............................238 
Penyandang: SEAH LEONG PENG: DAP
Undi Diperoleh 2013: 2 Majoriti 7,313