Showing posts with label Bersih. Show all posts
Showing posts with label Bersih. Show all posts

Friday, December 27, 2013

Akhirnya DITANGKAP...



Polis telah menahan suspek pemilik akaun facebook, Asmaelz Hadzeny II yang membuat kenyataan berbaur hasutan mengajak orang ramai untuk menyertai sebuah perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan baru-baru ini.

Suspek tersebut ditahan pada Khamis pada jam 11.00 pagi di Saratok, Sarawak.

"Penganggur yang berusia 25 tahun itu dalam proses untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi membantu siasatan. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen,"kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Datuk Hadi Ho Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan mengenai Asmaelz Hadzeny II yang dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai melakukan rusuhan bagi mengguling kerajaan pada 31 Disember ini di laman Facebooknya.

Berdasarkan akaun FBnya, beliau dilapor mengajak orang ramai membuat persiapan untuk merusuh selain membawa peralatan mempertahankan diri daripada anggota polis.

“...kita akan memerlukan tenaga yang lebih untuk menggulingkan kerajaan zalim...pada malam ambang sambutan tahun baru.

Ayuh rakyat ayuh! kalau boleh sila bawa perkakasan, peralatan untuk mempertahankan diri daripada....polis,” kata status berkenaan.

Berikutan kenyataan berbaur hasutan itu, polis telah membuka kertas siasatan dan menubuhkan pasukan khas dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman bagi menahan Asmaelz Hadzeny II dan mana-mana individu yang terlibat dalam perhimpunan itu.

PKR Sokong Himpunan 31 Disember!!!!


Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyatakan sokongan terhadap himpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yang dijadual akan diadakan pada malam ambang tahun baru 31 Disember ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, ianya merupakan perkara wajar susulan tindakan kerajaan yang menaikkan beberapa tarif termasuk kenaikan tol.


"Saya rasa kita tidak boleh hentikan himpunan ini dan saya menyokongnya kerana saya rasakan ianya perkara yang wajar kerana isu kenaikan yang diumumkan kerajaan ini merupakan isu pertama di negara sekarang.

"Kita menyokong prinsip yang sama seperti apa yang dituntut oleh TURUN, sebab itu parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menyokong himpunan ini," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Rafizi bagaimanapun menafikan bahawa PR merupakan dalang di sebalik himpunan dan menyatakan bahawa beliau sendiri tidak pernah mengenali NGO tersebut.

"Ia tidak langsung dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan PR dan kita tidak melihat ianya sebagai satu program politik.

"Apa yang sedang PR anjurkan hanyalah kempen mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ," ujarnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas terhadap beberapa laman sosial Facebook yang bukan sahaja mengeluarkan kenyataan berbau hasutan, malah mendakwa akan menggunakan bom pada Perhimpunan Guling Kerajaan.

Ianya disusuli dengan kenyataan PAS menerusi Timbalan Presiden, Mohamad Sabu yang menolak sebarang agenda mengguling Kerajaan Persekutuan dengan menganjurkan perhimpunan itu.

Saturday, December 21, 2013

Hasutan Pembangkang!!!

Mantan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim menyelar tindakan kepimpinan pembangkang yang menganjurkan himpunan rakyat pada 31 Disember ini dan menyifatkan penganjuran tersebut sebagai taktik lapuk dengan mempergunakan nama rakyat untuk kepentingan politik mereka.

Beliau seterusnya menyeru agar kepimpinan pembangkang berhenti daripada terus memperbodohkan rakyat di negara ini dengan anjuran himpunan yang sedemikian.


“Mereka ini saya lihat cuba membawa masuk budaya asing, budaya luar yang bertentangan dengan budaya kita. Mereka lihat apa yang berlaku di Thailand, Mesir dan banyak lagi negara luar, yang menjatuhkan kerajaan melalui demostrasi jalanan, maka mereka cuba ciplak kaedah tersebut untuk di laksanakan di negara ini.

“Saya juga menyeru rakyat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk mengadakan demonstrasi seperti ini. Ini bukan budaya kita. Budaya kita ialah dengan bermuzakarah dan berbincang bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Lagipun, sampai bila kita mahu berdemostrasi?,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sepatutnya ujar beliau, pakatan pembangkang yang mendabik dada mendakwa mereka itulah juara demokrasi perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13 baru-baru ini.

“Rakyat telah buat keputusan, maka mereka patut hormati keputusan majoriti rakyat di negara ini. Untuk apa lagi buat demo itu dan ini? Ini memperlihatkan pembangkang langsung tidak menghormati keputusan majoriti rakyat di negara ini.

“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi di mana lima tahun sekali, rakyat akan memilih dan menentukan siapa yang layak untuk mentadbir negara ini, dan keputusan itu telahpun dibuat. Sistem pemilihan pemimpin di negara kita adalah berdasarkan sistem pilihanraya, dan bukannya sistem di jalanraya,” ujarnya.


Justeru itu beliau berpendapat bahawa sepatutnya kepimpinan pembangkang mencari jalan yang lebih baik untuk memberikan pandangan dan pendapat, dan bukannya dengan cara menghasut rakyat ke jalan raya.

“Jangan kata kerajaan tidak mendengar suara pembangkang. Contohnya dalam penggunaan dakwat kekal ketika PRU yang didesak oleh pembangkang, kerajaan dengar dan laksanakan. Begitu juga dengan beberapa perkara lain lagi.

“Jadi bagi saya, himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang ini memperlihatkan sikap mereka yang rakuskan kuasa, dengki, khianat serta tidak memperdulikan nasib dan suara majoriti rakyat di negara ini.
“Majoriti rakyat di negara ini mahukan perpaduan dan bukannya perpecahan serta huru hara. Tetapi kepimpinan pembangkang tidak peduli hasrat dan aspirasi rakyat terbanyak kerana apa yang penting, matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan, dan dengan itu kuasa akan berpindah ke tangan mereka tercapai,” jelasnya.