Friday, December 27, 2013

PKR Sokong Himpunan 31 Disember!!!!


Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyatakan sokongan terhadap himpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yang dijadual akan diadakan pada malam ambang tahun baru 31 Disember ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, ianya merupakan perkara wajar susulan tindakan kerajaan yang menaikkan beberapa tarif termasuk kenaikan tol.


"Saya rasa kita tidak boleh hentikan himpunan ini dan saya menyokongnya kerana saya rasakan ianya perkara yang wajar kerana isu kenaikan yang diumumkan kerajaan ini merupakan isu pertama di negara sekarang.

"Kita menyokong prinsip yang sama seperti apa yang dituntut oleh TURUN, sebab itu parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menyokong himpunan ini," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Rafizi bagaimanapun menafikan bahawa PR merupakan dalang di sebalik himpunan dan menyatakan bahawa beliau sendiri tidak pernah mengenali NGO tersebut.

"Ia tidak langsung dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan PR dan kita tidak melihat ianya sebagai satu program politik.

"Apa yang sedang PR anjurkan hanyalah kempen mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ," ujarnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas terhadap beberapa laman sosial Facebook yang bukan sahaja mengeluarkan kenyataan berbau hasutan, malah mendakwa akan menggunakan bom pada Perhimpunan Guling Kerajaan.

Ianya disusuli dengan kenyataan PAS menerusi Timbalan Presiden, Mohamad Sabu yang menolak sebarang agenda mengguling Kerajaan Persekutuan dengan menganjurkan perhimpunan itu.

No comments:

Post a Comment