Showing posts with label PM. Show all posts
Showing posts with label PM. Show all posts

Saturday, December 21, 2013

@NajibRazak JAWAB TUDUHAN KERAJAAN TAK PRIHATIN


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenaikan tarif elektrik dan tol tidak dapat dielakkan demi memelihara kestabilan ekonomi, tetapi kerajaan akan mencari jalan untuk melindungi dan mengurangkan kesannya kepada rakyat.

"Jangan fikir kerajaan tidak prihatin kepada rakyat walaupun sekarang banyak bicara soal kenaikan tol, elektrik dan sebagainya, sebenarnya perkara-perkara ini amat sukar untuk tidak dilaksanakan.

"Implikasi kalau tak dilaksanakan, boleh menjejaskan ekonomi negara, rakyat akan tanggung kesusahan yang lebih (lagi) sebenarnya," kata Perdana Menteri semasa berucap pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat nasional dan penghargaan kepada para sukarelawan di Masjid Abu Bakar, Temerloh, di sini hari ini.

Beliau memberi contoh kenaikan tol, dan menjelaskan bahawa satu mekanisme akan dibuat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang terbabit.

"Kalau tol naik, mungkin ada kadar waktu puncak, atau pas bermusim, (dan) yang guna tiap-tiap hari, mungkin kita beri kadar lebih rendah dan murah, (ini) semua kita (kerajaan) sedang tengokkan (fikirkan)," kata Najib.

Perdana Menteri berkata lebuh raya di negara ini yang berstatus negara maju memerlukan pembiayaan tertentu, dan tol perlu dinaikkan secara berperingkat dengan mengambil kira kesannya kepada rakyat.
Beliau juga menegaskan pada hakikatnya, kerajaan masih menyediakan subsidi berjumlah RM42 bilion untuk rakyat, jumlah peruntukan yang hampir bersamaan dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM49 bilion. - BERNAMA

Tuesday, December 17, 2013

Manifesto Populis Jadi Umpan Pembangkang Untuk Gula-gulakan Rakyat


KUALA LUMPUR, 16 Dis – Kenyataan tidak wajar meneruskan dasar-dasar populis setelah masuk penggal kedua pemerintahan pakatan pembangkang di negeri Selangor seperti air percuma jelas menunjukkan selama ini segala janji yang ditaburkan adalah untuk gula-gulakan rakyat sebagaimana kenyataan populis mereka dalam mengaburi mata masyarakat terutamanya di Selangor.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, jika kita kaji Manifesto 2008 pakatan pembangkang pada PRU12, begitu juga dengan Manifesto mereka pada PRU13, boleh dikatakan hampir 80 peratus janji-janji pakatan DAP-PKR-PAS tidak dikotakan kerana ianya adalah ‘Manifesto Populis’.

“Rakyat akhirnya yang jadi mangsa penipuan pemimpin-pemimpin pembangkang yang populis ini. Adakah kita lupa akan kenyataan populis Pakatan ini?

“Dahulu dengan bangga mereka mengatakan akan menjaga kebajikan rakyat, tapi jika kita kaji dan nilai semuanya, PPRT naik sewa, cukai pintu Selangor pun naik, kadar sewa tapak niaga PKNS pun naik, hakikatnya banyak lagi yang dikatakan dahulu tetapi tidak ditunaikan kerana sebenarnya ia hanya kenyataan Populis,” ujarnya yang juga Pengerusi Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, jika sebelum ini mereka menyebut berkaitan pendidikan percuma namun bagaimana pula dengan Tadika PASTI yang diselia Pas dan mengapa tidak pula diberikan percuma?

“Begitu juga dengan mahasiwa yang belajar di Unisel dan mana-mana IPT di bawah kendalian kerajaan negeri, kenapa tidak diberikan pendidikan percuma sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat sekiranya menang dalam PRU?

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP negeri, Datuk Teng Chang Khim membidas kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang dianggap tidak wajar meneruskan dasar-dasar populis setelah masuk penggal kedua pemerintahan mereka di negeri terbabit.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang bertanggungjawab perlu mempunyai pandangan jauh tentang kebajikan rakyat dan bukan hanya memperkenal dasar populis seperti pemberian air percuma. 

Monday, December 16, 2013

Akhirnya Rosmah Jawab Fitnah Pembangkang!!

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor buat pertama kalinya mengeluarkan kenyataan penuh berhubung tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dari beberapa pihak termasuk pimpinan parti pembangkang.


Berikut merupakan kenyataan penuh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor : -

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Gejalanya amat menakutkan, lagi merosakkan.


Pembaca yang amat dikasihi,

Tibalah masanya saya sebagai seorang insan, dengan rendah hati ingin menjawab segala fitnah dan tohmahan yang telah dihamburkan kepada saya selama ini.

Adalah wajar untuk saya membersihkan nama saya, maruah suami tercinta dan seterusnya kepimpinan negara agar fitnah ini tidak terus terpalit hingga menyebabkan saudara saudari tersalah anggap.

Alhamdulillah, anak-anak boleh terima walaupun ada ketikanya mereka sedih dengan fitnah yang keterlaluan. Anak-anak saya cuba melihat kebaikan dan kemurniaan majoriti masyarakat, bukan minoriti yang sentiasa ada tanggapan negatif.

Apabila saya bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dan bersoal-jawab tentang fitnah-fitnah tersebut, mereka boleh menerima penjelasan daripada saya. Penjelasan secara 'face to face' itu sangat berkesan. Cuma, mereka hairan, terkejut dan bertanya mengapa tidak ada orang jawab bagi pihak saya.

Saya mana ada pegawai, saya isteri Perdana Menteri bukan Perdana Menteri.

Justeru, saya akan memberikan sendiri jawapan setiap persoalan yang timbul supaya masyarakat dapat menilai kebenarannya. Sikap mendiamkan diri dalam hal ini umpama 'membunuh diri sendiri'.

1. Isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, 19 Oktober 2006

Saya difitnah telah bersama membunuh mendiang pada tarikh kejadian. Nauzubillah. Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan itu. Tidak ada daya upaya saya berbuat begitu

Pada tarikh itu juga saya dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berada di dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Kepada Anak-Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Apabila saya difitnah dan media menyiarkannya, saya tidak diberikan kekebalan. Mungkin ramai orang yang tidak tahu bahawa saya disoal siasat di Bukit Aman selama enam jam gara-gara fitnah itu.

2. Cincin berlian berharga RM24 Juta

Saya berani bersumpah, cincin itu tidak ada di tangan saya. Memang cincin itu masuk (melalui kastam) untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev yang pada ketika itu berada di rumah saya bagi persiapan majlis pertunangan anaknya dengan anak saya. Beliau adalah 'regular customer' kepada jewelry Jacob & Co.

Perkara ini telah diterangkan secara lebih lanjut oleh Director of Fine Jewelry Jacob & Co., Philip Nassimi. Berlian berwarna biru kelabu seberat 30.11 karat itu telah dihantar pada 15 April 2011 melalui syarikat penghantaran Malca Amit, New York menggunakan penerbangan House Airway, no bil: 1488134 dari ibu pejabat Jacob & Co. di New York ke Kuala Lumpur, Malaysia. Ia sampai pada 16 April 2011.

Setelah dilihat oleh Maira, cincin tersebut dipulangkan dan keluar dari Malaysia melalui pelabuhan Singapura pada 20 April 2011. Ia diuruskan oleh Malca Amit Malaysia dan Singapura. Ia telah dikembalikan ke ibu pejabat Jacob & Co. di New York pada 13 Mei 2011

3. Berjoli di luar negara

Kebanyakan lawatan saya ke luar negara kerana mengiringi suami menjalankan tugas. Selain itu, saya juga menerima jemputan untuk menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat untuk berkongsi apa yang Malaysia lakukan.

Memang kebanyakan negara yang saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan Timur Tengah. Ini kerana negara-negara inilah yang memerlukan pendekatan yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan kaya. Jika mahu berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau negara yang memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.

Saya pernah dijemput memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Saudi Arabian Islamic Foundation for Giftedness and Creativity (Mawhiba).

Bagi saya ini adalah pengiktirafan terhadap wanita Islam yang mempunyai pandangan sederhana tetapi moden dan pada masa yang sama tidak melanggar adab kesopanan wanita Timur. Untuk seorang wanita diterima di kalangan pemimpin-pemimpin dunia lelaki terutamnya di Timur Tengah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sering memandang rendah kepada wanita.

Apabila wanita Islam mempunyai buah fikiran yang boleh dikongsi bersama dan buah fikiran itu sememangnya untuk manfaat rakyat maka mereka memberi penghargaan dengan cara menjemput kita ke negara mereka untuk menyampaikan ucapan. Masakan saya sempat untuk berjoli? Lagipun, saya tidak minat berjoli.

4. Pembaziran Projek Permata

Sejarah membuktikan bangsa yang tiada pendidikan akan terus ditindas. Saya percaya orang yang mempunyai pendidikan akan lebih berjaya. Sebagai anak bekas guru, saya faham tentang bagaimana pendidikan berfungsi untuk membentuk keperibadian manusia. Pendidikan harus bermula daripada awal. Justeru, saya mencadangkan penubuhan Permata.

Ini idea baru. Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar diterima oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya yang ingin kita sampaikan.

Satu lagi masalah ialah sikap penyokong politik yang taksub, kita yang tidak dapat membezakan kerja kemasyarakatan dengan politik. Semuanya mereka satukan.

Agak malang apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti Permata dijadikan motif politik.

Saya tidak faham mengapa orang mempertikaikan tentang Permata sedangkan program tersebut adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Ada yang marah-marah apabila kerajaan mengumumkan bajet yang besar untuk Permata sedangkan tidak ada satu sen pun duit itu masuk ke poket saya.

5. Bergaya dengan perhiasan mewah

Seperti kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke beberapa negara kerana urusan negara. Ada juga yang menjemput saya atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi ucaptama tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan wanita dan pendidikan awal kanak-kanak.

Apabila saya ke negara tersebut, mereka menyambut kami dengan mesra sebagaimana kita melayan mereka apabila mereka ke negara kita. Itulah adab sopan melayan tetamu. Sebagai meraikan kehadiran tetamu, kebiasaannya mereka memberikan cenderamata sebagai kenang-kenangan. Antara cenderamata tersebut termasuklah cincin, jam, perhiasan diri dan sebagainya. Ada yang diberi itu mahal harganya dan ditempah khas.

Apabila orang memberi kita sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk menolaknya. Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa kecil hati. Dan, apabila telah diberi, saya pun memakainya. Tak kan nak simpan saja dalam peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu dengan ikhlas, cantik dan sesuai untuk digunakan.

Adalah satu pembaziran jika ia di simpan 'kaku' dalam kotak simpanan.

Saya sedar ramai mata yang memerhati setiap apa yang saya lakukan dan setiap apa yang saya pakai. Itu hak mereka. Saya tidak boleh menghalang. Tetapi, malangnya mereka ini bukan saja memerhati malah memfitnah saya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan

6. Isu 'First Lady'

Bagi saya gelaran First Lady tidak menimbulkan sebarang masalah. Misalnya dalam penganjuran Sidang Kemuncak Wanita Pertama, peserta yang dijemput adalah isteri-isteri kepada Presiden, Perdana Menteri atau apa saja gelaran yang diberi kepada pemimpin tertinggi (yang menguruskan pentadbiran negara).
Mereka adalah First Lady atau Wanita Pertama dalam konteks suami yang diberi tanggungjawab serta dipilih rakyat untuk mentadbir Negara. Saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu dipertikaikan.

Kita di Malaysia ada institusi Diraja sebagai ketua negara iaitu yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Mirip British yang mana Queen adalah ketua negara manakala Perdana Menteri adalah ketua kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.

Bagi sesetengah negara seperti Amerika dan Perancis, ketua kerajaan dan negara adalah Presiden, maka isteri Presiden adalah Wanita Pertama.

Sekiranya kita menggelar Permaisuri Agong sebagai First Lady atau Wanita Pertama bererti kita telah 'downgrade' status baginda. Kedudukan baginda permaisuri adalah yang kedua selepas Yang Dipertuan Agong. Ini satu kedudukan khas yang diiktiraf dalam perlembagaan kita.

Saya rasa dalam soal ini ramai yang faham. Cuma mungkin ada sesetengah yang sengaja mempertikaikan dan cuba menjadikan ia sebagai isu.

7. Isu menjadi Perdana Menteri Keenam

Mana mungkin? Saya hanya mahu menjadi isteri kepada Najib Tun Razak. Kalau dia orang biasa pun, saya akan bersama dia. Kalau dia jadi Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab dan rezeki yang telah tertulis di Loh Mahfuz. Saya tetap akan berada di sisi dia selagi Allah memanjangkan jodoh antara kami.

Saya rasa pandangan salah ini muncul disebabkan serangan politik. Sudah pasti mereka mempunyai agenda politik tersendiri. Oleh kerana saya paling dekat kepada Datuk Seri Najib, maka saya menjadi sasaran. Oleh kerana saya sentiasa bersama Datuk Seri Najib di mana saja, maka saya dianggap sebagai orang yang menentukan semua polisi negara sama seperti kuasa Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib kata, sebenarnya mereka itu mahu mengenakan beliau tetapi sasaran yang paling tepat adalah mengenakan saya dulu. Mereka tak dapat suami, mereka pergi kepada isteri sebab saya tak boleh nak mempertahankan diri.

Orang yang memfitnah saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu tempat Datuk Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada cita-cita. Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan memfitnah orang. Itu salah dan tidak ada etika. Agama juga membenci perbuatan itu.


Pembaca yang amat dikasihi,

Saya tidak pandai menyusun ayat indah untuk menjawab semua fitnah ini. Apa yang lahir, adalah terlintas dari rasa sanubari seorang insan yang dianiaya oleh pihak tertentu.

Saya serahkan kepada Allah. Kalau mereka insaf, syukur Alhamdulillah. Saya sentiasa memaafkan. Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan beri yang baik kepada saya. Ingat zaman nabi dulu, bila orang kutuk baginda, baginda beri pisang kepada orang itu.

Semoga Allah memberkati para pembaca semua.

Sekian daripada saya,

Rosmah Mansor