Wednesday, June 11, 2014

KIT SIANG GESA CINA DI MALAYSIA TOLAK HUDUD?


Kuala Lumpur, 11 Jun - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Presiden MCA dan juga Presiden Gerakan menolak untuk menyertai kabinet kerajaan BN selagi mana UMNO menyokong perlaksanaan Hudud yang dibawa oleh PAS. 

Beliau berkata, Presiden kedua-dua parti komponen BN tersebut perlu menolak segala jawatan jika UMNO masih bercadang untuk melaksanakan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri. Lim Kit Siang berkata demikian ketika mengulas laporan yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik telah menghantar usul pelaksanaan hudud di Selangor kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula minggu depan.

“Mereka harus meminta Najib menangguh rombakan kabinet dan bertegas MCA dan Gerakan tidak akan menyertai kabinet selagi Umno tidak beri jaminan tidak akan meneruskan rancangan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri". 

Kit Siang juga mahu MCA dan Gerakan masing-masing mendesak UMNO supaya member jaminan terlebih dahulu untuk mengenepikan Hudud jika mahu kedua-dua parti yang dianggotai oleh masyarakat Cina tersebut menyertai barisan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. “Pilihan kini di tangan mereka, sama ada mereka bersedia untuk mengambil pendirian tegas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kedua-dua Presiden parti komponen BN itu dijangka bakal mendapat jawatan menteri dalam rombakan kabinet yang dikatakan akan diadakan sebelum Ramadan ini. Ketika ini, tiada seorang pun daripada MCA dan Gerakan yang dalam barisan jemaah menteri, ekoran kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13. Tindakan Lim Kit Siang ini jelas menunjukkan bahawa beliau mahu semua masyarakat Cina di Malaysia menolak hukum Hudud dari dilaksanakan di Malaysia.

PKR SAMA PKR PUN BERGADUH MACAM MANA NAK TADBIR NEGARA


PETALING JAYA: Pemimpin kontroversi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mencabar Badrul Hisham Shaharin supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan pembabitannya dalam politik wang pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. 

Berkeras enggan menafikan dakwaan dibuat Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard itu, calon Timbalan Presiden parti itu sebaliknya mengakui dirinya menjadi mangsa 'politik iri hati' oleh sebilangan kecil ahli parti. "Bagaimana saya nak nafi kerana tidak ada apa yang perlu dinafikan. Tidak ada sebarang tuduhan (rasuah) terhadap saya.

"Yang ada hanyalah dakwaan yang semata-mata dakwaan. Sesiapa sahaja boleh buat dakwaan, anda juga bebas untuk buat dakwaan terhadap saya jika tak suka saya," katanya. Malahan, Azmin turut mempersolkan kredibiliti pemimpin akar umbi seperti Chegubard yang berterusan membuat dakwaan namun gagal mengemukakan bukti kukuh. 

"Ini sebuah parti reformasi dan sudah pasti kita ingin lihat setiap tindakan yang diambil mestilah telus dan jelas. "Jika ada bantahan atau dakwaan, kemukakanlah bukti kepada pihak yang bertanggungjawab untuk diambil tindakan lanjut...ikut saluran yang betul," katanya.

GOLONGAN MUDA PROFESIONAL KUATKAN BN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib menyatakan keyakinan beliau bahawa Barisan Nasional kini telah menemui kaedah baru untuk menguatkan parti tersebut bagi persiapan menghadapi PRU 14 nanti. Najib mendedahkan, BN kini menyasarkan golongan muda profesional untuk dijadikan sebagai jurucakap parti serta memujuk golongan muda negara menyokong kerajaan.

Menurutnya, untuk permulaan, BN mensasar 10 individu untuk diketengahkan dan dijadikan jurucakap dalam isu panas seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan isu lain yang selama ini menyelubungi kerajaan BN. Kemasukan terus golongan muda ke dalam BN kini sedang dipertimbangkan oleh perdana menteri dan pemimpin kanan BN untuk menarik bakat-bakat baru. 

Beliau menyifatkan kemasukan golongan muda ini dapat membantu kerajaan dalam memacu hala tuju dan masa depan negara dengan lebih baik pada masa akan datang. Beliau juga yakin bahawa dengan kaedah baru ini secara tidak langsung akan membantu BN untuk memenangi PRU 14 nanti kerana kecenderungan pengundi muda ketika ini dilihat sudah kembali menyokong parti BN. 

Najib juga berharap dengan penyertaan golongan muda profesional ini, BN akan lebih mudah untuk didekati oleh generasi muda di negara ini. Menurut beliau, golongan muda di negara ini mahukan kebebasan, hak dan ketelusan yang lebih. Mereka juga mahukan pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi dilihat bersih. 

Mereka menolak rasuah dan membenci cara sesetengah pemimpin politik memperagakan kemewahan hidup mereka. Menurut Najib lagi, penyertaan golongan muda profesional ini sekaligus dapat meyakinkan lagi golongan muda di negara ini untuk menyokong BN dalam menghadapi PRU 14 nanti. SUMBER

Tuesday, June 10, 2014

HANYA KERANA RM50, ANAK BERTINDAK GANAS


KUALA TERENGGANU - Angkara RM50! Seorang anak bukan sahaja tergamak memaki hamun bapanya, malah turut bertindak agresif dengan menendang serta merosakkan pintu rumah mereka sehingga berlubang apabila kehendaknya itu tidak dipenuhi warga emas tersebut. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam, di Kampung Bukit Tunggal, di sini, Sabtu lalu. Menurut sumber, sebelum insiden berlaku, mangsa yang berusia 64 tahun sedang berehat bersama isterinya berusia 60-an, di kediaman mereka dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan kepulangan suspek.

“Suspek yang berusia 25 tahun itu dalam keadaan marah-marah memaksa mangsa menyerahkan wang RM50 kepadanya sambil menendang pintu bilik, bagaimanapun, tidak lama kemudian keadaan kembali senyap. “Mangsa yang menyangkakan suspek sudah beredar, keluar untuk membuat pemeriksaan dan ternampak anaknya itu sedang berada di dalam bilik sebelum suspek tiba-tiba keluar sambil membawa sesuatu di tangannya,” katanya.

Jelas sumber, terkejut dengan situasi itu serta bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa terus menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam biliknya sambil mengunci pintu sebelum terdengar bunyi ketukan di pintu biliknya, dipercayai menggunakan sebatang tukul. “Tindakan suspek itu telah menyebabkan papan bilik mangsa rosak serta berlubang dan melihatkan keadaan anaknya yang semakin agresif itu, warga emas berkenaan nekad menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. 

“Namun, sejurus mengetahui bapanya menghubungi polis, anak derhaka itu melarikan diri menggunakan motosikal milik mangsa,” katanya. Sumber berkata, sebelum ini, suspek dikatakan pernah menggadaikan motosikal jenis Yamaha 125Z milik salah seorang adik-beradiknya kepada pengedar dadah. Jelasnya lagi, difahamkan suspek kerap mengugut mangsa sekiranya ingin mendapatkan wang dan tindakan itu menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, kerana tidak sanggup melayan kerenah suspek, selain bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang. 

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Mengamuk kerana gagal dapat RM30 Sementara itu, di Dungun, hanya kerana kehendaknya untuk mendapatkan wang RM30 tidak dilayan, seorang abang seolah-olah ‘hilang akal’ apabila mengamuk dengan mengugut mahu membunuh adik tirinya, dalam satu kejadian di Kampung Sungai Buaya, Sabtu lalu. 

Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berehat di rumah mereka sebelum dihampiri suspek, 30-an, dengan selamba meminta wang RM30. “Bagaimanapun, mangsa yang sudah lali dengan perangai abangnya itu yang selalu meminta wang, tidak menghiraukan permintaan tersebut menyebabkan lelaki terbabit naik angin. 

“Suspek yang bagaikan dirasuk itu dalam masa sama bertindak agresif apabila mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya masih berdegil tidak mahu menyerahkan wang yang diminta,” katanya. Jelas sumber lagi, difahamkan kejadian seumpama ini sudah kerap kali berlaku, yang mana suspek akan bertindak mengugut menggunakan senjata bagi menakutkan mangsa setiap kali meminta wang. 

“Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang sudah tidak tahan lagi berdepan dengan situasi tersebut serta dalam masa sama bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun bagi tindakan pihak berkuasa,” katanya. 

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kini usaha memburu suspek sedang giat dijalankan. Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.