Tuesday, June 10, 2014

HANYA KERANA RM50, ANAK BERTINDAK GANAS


KUALA TERENGGANU - Angkara RM50! Seorang anak bukan sahaja tergamak memaki hamun bapanya, malah turut bertindak agresif dengan menendang serta merosakkan pintu rumah mereka sehingga berlubang apabila kehendaknya itu tidak dipenuhi warga emas tersebut. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam, di Kampung Bukit Tunggal, di sini, Sabtu lalu. Menurut sumber, sebelum insiden berlaku, mangsa yang berusia 64 tahun sedang berehat bersama isterinya berusia 60-an, di kediaman mereka dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan kepulangan suspek.

“Suspek yang berusia 25 tahun itu dalam keadaan marah-marah memaksa mangsa menyerahkan wang RM50 kepadanya sambil menendang pintu bilik, bagaimanapun, tidak lama kemudian keadaan kembali senyap. “Mangsa yang menyangkakan suspek sudah beredar, keluar untuk membuat pemeriksaan dan ternampak anaknya itu sedang berada di dalam bilik sebelum suspek tiba-tiba keluar sambil membawa sesuatu di tangannya,” katanya.

Jelas sumber, terkejut dengan situasi itu serta bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa terus menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam biliknya sambil mengunci pintu sebelum terdengar bunyi ketukan di pintu biliknya, dipercayai menggunakan sebatang tukul. “Tindakan suspek itu telah menyebabkan papan bilik mangsa rosak serta berlubang dan melihatkan keadaan anaknya yang semakin agresif itu, warga emas berkenaan nekad menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. 

“Namun, sejurus mengetahui bapanya menghubungi polis, anak derhaka itu melarikan diri menggunakan motosikal milik mangsa,” katanya. Sumber berkata, sebelum ini, suspek dikatakan pernah menggadaikan motosikal jenis Yamaha 125Z milik salah seorang adik-beradiknya kepada pengedar dadah. Jelasnya lagi, difahamkan suspek kerap mengugut mangsa sekiranya ingin mendapatkan wang dan tindakan itu menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, kerana tidak sanggup melayan kerenah suspek, selain bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang. 

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Mengamuk kerana gagal dapat RM30 Sementara itu, di Dungun, hanya kerana kehendaknya untuk mendapatkan wang RM30 tidak dilayan, seorang abang seolah-olah ‘hilang akal’ apabila mengamuk dengan mengugut mahu membunuh adik tirinya, dalam satu kejadian di Kampung Sungai Buaya, Sabtu lalu. 

Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berehat di rumah mereka sebelum dihampiri suspek, 30-an, dengan selamba meminta wang RM30. “Bagaimanapun, mangsa yang sudah lali dengan perangai abangnya itu yang selalu meminta wang, tidak menghiraukan permintaan tersebut menyebabkan lelaki terbabit naik angin. 

“Suspek yang bagaikan dirasuk itu dalam masa sama bertindak agresif apabila mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya masih berdegil tidak mahu menyerahkan wang yang diminta,” katanya. Jelas sumber lagi, difahamkan kejadian seumpama ini sudah kerap kali berlaku, yang mana suspek akan bertindak mengugut menggunakan senjata bagi menakutkan mangsa setiap kali meminta wang. 

“Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang sudah tidak tahan lagi berdepan dengan situasi tersebut serta dalam masa sama bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun bagi tindakan pihak berkuasa,” katanya. 

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kini usaha memburu suspek sedang giat dijalankan. Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

No comments:

Post a Comment