Tuesday, June 10, 2014

POLIS SANGKAL LAPORAN PORTAL MALAYSIAKINI


Pulau Pinang, 09 Jun - Pihak Polis di Raja Malaysia (PDRM) hari ini menyangkal laporan portal berita Malaysiakini bahawa seorang tahanan lokap yang mati ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam semalam, Tahanan tersebut ditangkap kerana disyaki menghisap dadah di dalam kilang tempatnya bekerja di Perai, pada 2 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Baharom Abu berkata, sebaliknya, SN Aginraj, 26, bukan bekerja di kilang tersebut dan ditahan oleh pengawal keselamatan serta rakannya kerana mencuri 12 ketul besi di premis itu. Kata beliau, berlaku pergelutan semasa kejadian sehingga mengakibatkan lelaki tersebut mengalami kecederaan.

"Ketika polis sampai, terdapat kecederaan pada tubuh Aginraj. Aginraj bersama rakannya, N. Mohanraj, 31, kemudian direman pada 3 Jun dan keesokannya, Aginraj dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam kerana diserang sawan," katanya. Baharom berkata, pada 6 Jun lalu, Aginraj telah dituduh di Hospital Bukit Mertajam ketika masih menerima rawatan dan dia mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan sebelum diikat jamin sebanyak RM8,000.

"Keluarganya memaklumkan mereka akan mengusahakan untuk mencari wang jaminan dan pada pagi semalam, polis mendapat panggilan bahawa Aginraj telah meninggal dunia di hospital pada pukul 7.05 petang," katanya. 

Terdahulu, dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Baharom mengesahkan bahawa hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Pulau Pinang yang diketuai Datuk Dr. Bhupinder Singh mendapati kematian Aginraj berpunca daripada Hypocix Elcephalopathy Following Epileptic Fits atau sawan yang menyebabkan kesukaran bernafas. SUMBER

MCA MAHU JAWATAN MENTERI


Kuala Lumpur, 09 Jun - Wakil MCA mendakwa jawatan Menteri kepada pemimpin MCA akan mampu menarik balik sokongan kaum Cina kepada BN dan juga kerajaan. Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata penyertaan kembali MCA didalam kabinet kerajaan akan membuktikan bahawa kaum cina mempunyai pemimpin yang mampu membuat dasar kerajaan, dan ia akan mengembalikan kepercayaan kaum cina terhadap BN dan juga Perdana Menteri. 

Beliau mendakwa, penyertaan semula MCA ke dalam Kabinet adalah penting kerana ini akan membantu Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam parti itu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam menyelesaikan kes serta meneruskan usaha-usaha menangani masalah rakyat khususnya masyarakat Cina di negara ini. Katanya, ketika ini biro berkenaan menghadapi sedikit kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat memandangkan ketiadaan wakil MCA di Kabinet dan perkara itu perlu ditangani. 

Beliau yang berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melantik wakil MCA ke dalam Kabinet berkata langkah itu akan meringankan tugas Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Menurut Michael, kemasukan wakil MCA ke Kabinet juga penting dalam memastikan kelangsungan parti memandangkan masyarakat Cina kini sudah mula kembali menyokong BN. 

"Terdapat keperluan bagi MCA mempunyai seorang menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet untuk melaksanakan khidmat itu. Persatuan Cina, ahli perniagaan juga datang kepada kami dan berpendapat agak sukar tanpa MCA (dalam Kabinet)," katanya kepada pemberita selepas satu ceramah tentang jabatan berkenaan di sini semalam.

Bagaimanapun, sebelum ini sokongan kaum cina kepada kerajaan merosot biarpun MCA dan Gerakan mempunyai beberapa tempat didalam pentadbiran negara. "Namun kita berserah kepada pertimbangan Perdana Menteri dalam menentukan kedudukan MCA di Kabinet kerana yang penting adalah MCA mempunyai wakil," katanya. SUMBER

KIT SIANG MARAH DILABEL RASIS


Kuala Lumpur, 09 Jun - Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan pihak berkuasa kerana membiarkan dirinya dilabelkan sebagai rasis oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia. Beliau mendakwa sikap pihak berkuasa yang berdiam diri dan seolah-olah memberi ‘lesen penuh’ kepada beberapa pertubuhan mendakwa dirinya rasis. 

Kit Siang juga mempertikaikan mengapa pihak berkuasa begitu tegas mengambil tindakan terhadap pembangkang jika mereka melakukan kritikan serta serangan jahat seumpama itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Adakah polis dan Peguam Negara akan berdiam diri dan membenarkan pembohongan, kepalsuan dan fitnah dibuat secara terbuka terhadap Najib?" 

"Apakah respons pihak berkuasa jika ada pertubuhan bukan-Melayu yang bersikap seperti Isma dengan terbuka menyerang Najib sebagai anti-Cina dan anti-India, serta menuduhnya mahu menghapuskan orang Cina dan India di Malaysia? 

Mengapa mereka tidak berbuat apa-apa terhadap racauan fitnah dan adu-domba yang dibuat Isma?" katanya dalam satu kenyataan Kit Siang berang apabila Pertubuhan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) mendakwa Kit Siang memusuhi Melayu sejak dari tahun 60-an dan menyifatkan DAP sebagai barah didalam politik Malaysia. 

Walau bagaimanapun, Kit Siang menyifatkan bahawa serangan ISMA keatas dirinya itu tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya kerana beliau yakin sehingga ke hari ini beliau masih mendapat sokongan yang padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Menurut Kit Siang lagi, ratusan penyokongnya didalam laman-laman sosial menasihati beliau supaya mengambil tindakan menyaman ISMA.

"Ada ratusan reaksi di internet mengenai tuduhan liar Isma dan menasihati saya agar jangan pedulikan Isma dan ada pula yang menggesa saya menyaman mereka. Saya berterima kasih terhadap sokongan ini." Kit Siang turut memaklumkan akan menunggu nasihat peguam berhubung kemungkinan tindakan undang-undang terhadap NGO itu. SUMBER

Friday, June 6, 2014

TINDAKAN JAIS SERBU UPACARA PERKAHWINAN HINDU TEPAT - PROF. DR. AZNAN HASAN


Bangi, 06 Jun - Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Prof Madya Dr Aznan Hasan menyokong tindakan JAIS menghentikan upacara perkahwinan hindu dan menyifatkan menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutamanya institusi agama mencegah supaya tidak berlaku perkara bertentangan dengan syarak, iaitu perkahwinan wanita Islam dengan pasangan bukan Islam. "Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa. 

Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan. "Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam," tegasnya. Dr. Aznan menjelaskan, siasatan JAIS itu adalah untuk memastikan adakah wanita tersebut seorang muslimah yang sebenar atau muslimah sekadar pada nama seperti yang didakwa olehnya.

"Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu langkah saddu al-zarai’ (menghalang daripada berlaku satu kemungkaran)," katanya lagi. Beliau turut membidas kenyataan NGO liberal, Sistera in Islam (SIS) apabila menganggap punca hal itu berlaku adalah kerana adanya hukum syarak yang meletakkan pengislaman agama bagi anak bawah umur apabila salah seorang (satu pihak) dari ibu bapa masuk Islam. 

Menurut beliau, dalam kes ini, kita perlu membezakan antara hukum syarak dan kesalahan yang dilakukan oleh bapa tersebut (jika ada), dan jelas dalam syarak apabila salah seorang ibu bapa masuk Islam maka anak-anaknya turut akan masuk Islam. "Tetapi dalam hal ini yang menjadi masalah adalah bapa tersebut tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik serta seorang bapa yang bertanggungjawab. Isunya pada bapa bukannya pada hukum syarak.

"Jadi penyelesaian dalam kes ini adalah dengan kita bersama-sama memperbaiki sistem pengurusan muallaf (orang yang baru masuk Islam). "Ianya bagi memastikan mereka mendapat didikan dan panduan yang menyeluruh supaya mereka menjadi seorang muslim yang baik dan bertanggungjawab dengan itu kes seperti ini tidak akan berulang," ujarnya lebih lanjut. 

Beliau yang juga merupakan Prof Madya di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menganggap tindakan Jabatan Agama tersebut sebagai satu langkah mencegah kemungkaran. SUMBER