Bangi, 06 Jun - Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Prof Madya Dr Aznan Hasan menyokong tindakan JAIS menghentikan upacara perkahwinan hindu dan menyifatkan menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutamanya institusi agama mencegah supaya tidak berlaku perkara bertentangan dengan syarak, iaitu perkahwinan wanita Islam dengan pasangan bukan Islam.
"Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa.
Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan. "Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam," tegasnya.
Dr. Aznan menjelaskan, siasatan JAIS itu adalah untuk memastikan adakah wanita tersebut seorang muslimah yang sebenar atau muslimah sekadar pada nama seperti yang didakwa olehnya.
"Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu langkah saddu al-zarai’ (menghalang daripada berlaku satu kemungkaran)," katanya lagi.
Beliau turut membidas kenyataan NGO liberal, Sistera in Islam (SIS) apabila menganggap punca hal itu berlaku adalah kerana adanya hukum syarak yang meletakkan pengislaman agama bagi anak bawah umur apabila salah seorang (satu pihak) dari ibu bapa masuk Islam.
Menurut beliau, dalam kes ini, kita perlu membezakan antara hukum syarak dan kesalahan yang dilakukan oleh bapa tersebut (jika ada), dan jelas dalam syarak apabila salah seorang ibu bapa masuk Islam maka anak-anaknya turut akan masuk Islam.
"Tetapi dalam hal ini yang menjadi masalah adalah bapa tersebut tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik serta seorang bapa yang bertanggungjawab. Isunya pada bapa bukannya pada hukum syarak.
"Jadi penyelesaian dalam kes ini adalah dengan kita bersama-sama memperbaiki sistem pengurusan muallaf (orang yang baru masuk Islam).
"Ianya bagi memastikan mereka mendapat didikan dan panduan yang menyeluruh supaya mereka menjadi seorang muslim yang baik dan bertanggungjawab dengan itu kes seperti ini tidak akan berulang," ujarnya lebih lanjut.
Beliau yang juga merupakan Prof Madya di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menganggap tindakan Jabatan Agama tersebut sebagai satu langkah mencegah kemungkaran. SUMBER
No comments:
Post a Comment