Tuesday, June 10, 2014

MCA MAHU JAWATAN MENTERI


Kuala Lumpur, 09 Jun - Wakil MCA mendakwa jawatan Menteri kepada pemimpin MCA akan mampu menarik balik sokongan kaum Cina kepada BN dan juga kerajaan. Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata penyertaan kembali MCA didalam kabinet kerajaan akan membuktikan bahawa kaum cina mempunyai pemimpin yang mampu membuat dasar kerajaan, dan ia akan mengembalikan kepercayaan kaum cina terhadap BN dan juga Perdana Menteri. 

Beliau mendakwa, penyertaan semula MCA ke dalam Kabinet adalah penting kerana ini akan membantu Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam parti itu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam menyelesaikan kes serta meneruskan usaha-usaha menangani masalah rakyat khususnya masyarakat Cina di negara ini. Katanya, ketika ini biro berkenaan menghadapi sedikit kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat memandangkan ketiadaan wakil MCA di Kabinet dan perkara itu perlu ditangani. 

Beliau yang berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melantik wakil MCA ke dalam Kabinet berkata langkah itu akan meringankan tugas Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Menurut Michael, kemasukan wakil MCA ke Kabinet juga penting dalam memastikan kelangsungan parti memandangkan masyarakat Cina kini sudah mula kembali menyokong BN. 

"Terdapat keperluan bagi MCA mempunyai seorang menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet untuk melaksanakan khidmat itu. Persatuan Cina, ahli perniagaan juga datang kepada kami dan berpendapat agak sukar tanpa MCA (dalam Kabinet)," katanya kepada pemberita selepas satu ceramah tentang jabatan berkenaan di sini semalam.

Bagaimanapun, sebelum ini sokongan kaum cina kepada kerajaan merosot biarpun MCA dan Gerakan mempunyai beberapa tempat didalam pentadbiran negara. "Namun kita berserah kepada pertimbangan Perdana Menteri dalam menentukan kedudukan MCA di Kabinet kerana yang penting adalah MCA mempunyai wakil," katanya. SUMBER

No comments:

Post a Comment