Tuesday, April 22, 2014

ADUN UMNO Terlibat PENYELEWENGAN?


Butterworth , 22 April 2014 - YB Dato Shabudin Yahya Ahli Parlimen Tasek Gelugor mewakili semua Adun dalam Parlimen Tasek Gelugor dalam sidang medianya hari ini membuat penafian keras terhadap tuduhan pemimpin kerajaan DAP negeri Pulau Pinang berkaitan tanah TUDM di Butterworth. 

Beliau juga menafikan bahawa Adun-adun di Tasek Gelugor terlibat dalam penyelewengan tanah berkenaan yang didakwa dijual kepada kroni. Shabudin menyifatkan kenyataan yang disebarkan oleh Dr Afif itu adalah amat tidak wajar dan amat tidak bertanggung jawab. 

Ia juga mencemarkan imej serta integriti Adun Umno di Tasek Gelugor. Adun Seberang Jaya tersebut juga terbukti membuat persepsi jahat dengan tujuan supaya rakyat membenci semua pemimpin Barisan Nasional khususnya Umno. Ahli Parllimen Tasek Gelugor berkenaan tampil mencabar Dr Afif supaya membuktikan dakwaan beliau dan mendedahkan bukti berkenaan kepada rakyat jika ada. 

Sebelum ini Ketua Pembangkang Dun P.Pinang, Dato Jahara Bt Hamid mewakili semua Adun Barisan Nasional negeri membantah cadangan pembangunan tapak TUDM Butterworth diatas alasan bahawa pemimpin Umno/BN lebih mementingkan kehendak rakyat negeri P.Pinang. Lagi Berita Lanjut

PRK Bukit Gelugor, Tidak Lama Lagi


GEORGETOWN - Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan calon dan strategi pilihan raya kecil berkenaan selain aspek logistik serta statistik. Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini yang diadakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang keluar beramai-ramai menghadiri perarakan membawa mayat bapanya untuk disemadikan pada Ahad lepas. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan tentang kekosongan kerusi berkenaan oleh Dewan Rakyat dan SPR akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu. Kon Yeow berkata DAP belum menyenarai pendek calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan enggan mengulas sama ada Ramkarpal Singh Deo, anak lelaki mendiang Karpal Singh, akan mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Tim Donoghue, penulis biografi Karpal Singh, memberitahu sebuah portal berita bahawa Karpal Singh telah memilih sendiri anak lelakinya, Ramkarpal, untuk bertanding jika beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan. Bernama

Monday, April 21, 2014

Raja Bomoh Dakwa Kemalangan Karpal Disebabkan Puaka Gua Tempurung


Ipoh – Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa kemalangan maut yang menimpa ahli parlimen Bukiit Gelugor, mendiang Karpal Singh baru-baru ini berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung yang banyak berkeliaran di kawasan tersebut. 

Ibrahim ketika di temui berkata, kawasan sekitar laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam. 


“Mengikut pandangan saya sebagai Raja Bomoh, kemalangan yang menimpa ahli parlimen Bukit Gelugor baru-baru ini adalah disebabkan gangguan dari puaka Gua Tempurung,” katanya sejurus selepas melakukan ritual ‘menghalau puaka’ di tempat kemalangan ngeri yang menimpa mending Karpal petang tadi. 

Menurutnya lagi, beliau telah pergi ke lokasi kemalangan yang menimpa mendiang Karpal, untuk melakukan ‘ritual menghalau puaka’ agar makhluk halus yang berada di kawasan sekitar tidak lagi mengganggu para pengguna lebuh raya itu.

“Semoga usaha yang saya lakukan itu dengan izin Allah akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi. Karpal dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 40-an maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi Khamis lalu. 

Selain itu pembantu rumah Karpa, seorang wanita warga Indonesia pula cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.

Lagi Kemalangan Maut Berlaku


PEKAN: Seorang lelaki warga asing maut manakala 39 penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran dua tingkat yang mereka menaiki terbabas dan terjunam ke dalam sebuah gaung sedalam 10 meter di kilometer 70 Jalan Kuantan - Segamat di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Superitendan Yahaya Othman berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang membawa pelancong dalam perjalanan dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Singapura. 

"Punca kejadian dipercayai bas terbabas ke kiri bahu jalan dan bergolek. Kedalaman jarak antara tempat kejadian dengan jalan lebih kurang 10 meter. Siasatan sedang dijalankan dan sehingga kini maklumat kita terima ataupun hasil siasatan kami seorang daripada penumpang meninggal dunia," katanya. 


Mayat lelaki warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an di bawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dekat sini, Hospital Muadzam, Hospital Chini dan Hospital Pekan. 

Tambahnya, kedua-dua pemandu bas yang cedera ringan dibawa ke HTAA untuk rawatan selanjutnya. Menurut Yahaya lagi, pelancong berkenaan dipercayai dari Pulau Redang, Terengganu dan menaiki bas berkenaan di Kuala Terengganu. Sebanyak tiga buah jentera bomba dan 10 ambulans bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.astroawani