Tuesday, April 22, 2014

PRK Bukit Gelugor, Tidak Lama Lagi


GEORGETOWN - Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan calon dan strategi pilihan raya kecil berkenaan selain aspek logistik serta statistik. Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini yang diadakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang keluar beramai-ramai menghadiri perarakan membawa mayat bapanya untuk disemadikan pada Ahad lepas. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan tentang kekosongan kerusi berkenaan oleh Dewan Rakyat dan SPR akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu. Kon Yeow berkata DAP belum menyenarai pendek calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan enggan mengulas sama ada Ramkarpal Singh Deo, anak lelaki mendiang Karpal Singh, akan mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Tim Donoghue, penulis biografi Karpal Singh, memberitahu sebuah portal berita bahawa Karpal Singh telah memilih sendiri anak lelakinya, Ramkarpal, untuk bertanding jika beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan. Bernama

No comments:

Post a Comment