Tuesday, July 8, 2014

KERAJAAN PAKATAN SELANGOR MAHU BINA PUSAT JUDI LUMBA KUDA? #Teammediagagak


Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad menegaskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bersetuju dengan pembinaan pusat judi lumba kuda yang dipohon untuk dibina di Hulu Selangor. Malah Iskandar menyifatkan pembinaan pusat judi lumba kuda ini ibarat seperti Pakatan Pembangkang tidak lagi mempedulikan PAS sebagai salah satu parti dalam Pakatan Pembangkang. 

Beliau berkata, cadangan membina pusat judi lumba kuda itu menunjukkan seolah-olah PAS yang memegang majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak dihormati rakan seperjuangannya yang lain dalam kerajaan PR negeri itu, iaitu PKR dan DAP. Katanya lagi, wakil daripada PAS dalam kerajaan negeri pula sentiasa konsisten dengan pendirian ini dan tidak akan bersetuju dengan projek yang memang memudaratkan itu. 

Iskandar menegaskan PAS sama sekali tidak akan bersetuju dengan pembinaan pusat perjudian itu. "Walau bagaimanapun saya yakin isu ini akan dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan rakyat." Iskandar menyifatkan isu permohonan pembinaan pusat judi ini boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika diluluskan dan PAS sebagai sebuah Parti Islam menolak dan membantah keras sebarang pusat maksiat dibina didalam negeri itu. 

Namun begitu, Iskandar berharap bahawa isu pembinaan pusat lumba kuda dapat diselesaikan dan kerajaan negeri harus mengambil kira pandangan dan suara daripada rakyat. Beliau turut menggesa agar masyarakat Islam khususnya bersabar. Terdahulu, Merdeka Centre telah mengadakan satu kaji selidik berhubung pembinaan pusat lumba kuda tersebut pada tahun 2011 dan hasilnya majoriti masyarakat Melayu di kawasan tersebut menolaknya. 

Sebelum ini, PAS Hulu Selangor mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor berhubung pembinaan pusat judi lumba kuda berkenaan. -SUMBER

Monday, July 7, 2014

KHALID IBRAHIM MULA MENDERHAKA KEPADA ANWAR


Shah Alam, 07 Jul - Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Anwar Ibrahim supaya tidak mengkritik dan mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor sewenang-wenangnya. Khalid juga mahu Anwar sedar bahawa kerajaan negeri tidak boleh membuat perubahan sesuka hati tanpa berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak. 

Khalid juga mendedahkan bahawa kewibawaan Anwar selaku Ketua Umum juga dipersoalkan oleh ahli serta pemimpin PKR selama ini. "Isu sama ada Anwar akan menjadi Presiden PKR seumur hidup turut dibincangkan. "Kita semua ada perbincangan. Saudara (media) mesti tahu, kerajaan tidak boleh membuat perubahan sewenang-wenangnya. 

"Berbeza dengan individu, hari ini dia boleh bersetuju dengan sesuatu perkara dan esok tidak bersetuju, tetapi kerajaan tidak boleh buat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini. Sebelum ini, Anwar mengkritik pentadbiran Khalid yang dikatakan agak lemah didalam isu pembinaan lebuhraya Lidex serta isu konsesi air. 

Menurut Anwar, sebagai Ketua Umum Keadilan Rakyat beliau sebenarnya merasa amat bimbang dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh Khalid Ibrahim. Beliau menyifatkan bahawa Khalid gagal dalam menangani masalah berkenaan isu pembinaan lebuhraya Lidex serta konsesi air yang sekali gus membuktikan Khalid gagal mentadbir kerajaan negeri dengan baik. 

Menurut Khalid, dalam isu Kidex dan konsesi air, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit untuk mencari jaln penyelesaian. Jelasnya, undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri perlu dipatuhi supaya rakyat yakin dengan kepimpinan tertinggi. "Anda perlu faham, saya datang dari latar belakang sangat profesional dan saya pernah jaga (tadbir) Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan kita cakap untuk 10 hingga 30 tahun akan datang," ujarnya.

Beliau menambah, pendirian yang dipegangnya untuk melakukan sesuatu perkara adalah sentiasa mengutamakan kepentingan negeri. Khalid menyifatkan tindakan beliau dalam mentadbir negeri Selangor adalah dengan mendahulukan rakyat dan setiap keputusan yang dibuat adalah mendahulukan rakyat. "Apa-apa pun perkara yang akan memberi keuntungan kepada rakyat Selangor, saya akan bekerjasama dengan semua pihak. 

"Ada perkara saya setuju, ada juga yang saya tidak setuju tetapi semuanya berasaskan kepentingan rakyat," jelas beliau lagi. -SUMBER

Wednesday, July 2, 2014

MASA DEPAN NEGERI SELANGOR ROSAK DIBAWAH PKR


Shah Alam, 02 Jul - Negeri Selangor yang dahulunya dikenali dengan jolokan negeri terkaya di Malaysia bakal menghadapi masa depan yang gelap sekiranya kerajaan negeri dibawah naungan PKR tidak selesaikan masalah-masalah yang dihadapinya sekarang ini. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan berkata bahawa kemelut pemilihan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini jelas memperlihatkan kegagalan pemimpin tertinggi PKR dalam mengurus tadbir pemilihan parti yang akhirnya mengundang ketidakstabilan sehingga menjadi huru hara dan penuh dengan konflik serta penyelewengan. 

Beliau berkata, konflik pemilihan kepimpinan PKR semakin melarat apabila kekecohan turut berlaku di cabang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyaksikan beliau akhirnya kecundang di cabangnya sendiri. Beliau menyifatkan kekalahan Khalid Ibrahim ini sekaligus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin didalam parti tersebut telah gagal serta tidak layak untuk parti tersebut memimpin negara kerana konflik dalaman partinya sendiri tidak dapat diselesaikan. 

"Saya agak bimbang dengan perkembangan yang berlaku di dalam PKR hari ini. Ini memandangkan jelas bahawa parti PKR yang menjadi pentadbir Selangor kini dalam keadaan huru hara dengan pelbagai konflik dan dakwaan penyelewengan, blackout dan sebagainya, yang turut berlaku di cabang Menteri Besar sendiri. 

"Apakah pemimpin yang tidak mampu untuk mentadbir parti sekecil itu, mampu untuk mentadbir sebuah negeri dengan baik? Jika beginilah parti yang mana pemimpinnya sendiri sudah tidak mampu membendung penyelewengan dan unsur rasuah di dalam partinya sendiri, apakah mereka mampu untuk membendung penyelewengan dan rasuah apabila memerintah negeri atau negara?

"Kebimbangan saya ini berasas berdasarkan pengalaman krisis air yang berlaku di Selangor, akibat sikap tidak cerdik pemimpin PKR yang lebih banyak bermain politik, akhirnya telah menyebabkan sebahagian besar rakyat di negeri ini merana.

"Bahkan sehingga hari ini, krisis air yang telah banyak memberikan kesan kepada rakyat dan juga ekonomi di negara ini masih belum selesai," tegasnya. Menurut Halimaton, rakyat terus diheret dalam isu peribadi dan dalaman parti yang mungkin ada kepentingan bagi pihak tertentu. "Sedang dalam Selangor masih bergelut dengan krisis air yang tidak selesai, kepimpinan PKR pula sibuk bermain politik menjatuhkan sesama sendiri akibat perebutan kuasa untuk menduduki takhta kerusi Menteri Besar," tegas beliau.

Justeru daripada itu, Halimaton menyeru seluruh rakyat di Selangor agar beriltizam agar negeri ini dapat dikembalikan semula di bawah pentadbiran BN pada PRU yang akan datang, agar Selangor kembali gah dan terus menjadi negeri maju yang dapat memberikan limpahan kemakmuran kepada rakyat di negeri Selangor ini. 

KHALID "DITENDANG" OLEH ORANG KAMPUNG SENDIRI


Tidak tahu jaga pengundi dan juga abaikan kebajikan pengundi di kampung sendiri merupakan antara punca kekalahan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim didalam pemilihan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor. Ianya didedahkan oleh Ketua Cabang yang baru, S Manickavasagam yang mahu Khalid Ibrahim menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi kawasan dan tidak perlu membuang masa mengadakan pemilihan semula di cabang tersebut. 

Beliau berkata, kekalahan Menteri Besar Selangor dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor itu bukanlah disebabkan sabotaj seperti mana diwar-warkan sebelum ini dan ianya adalah disebabkan kecuaian Menteri Besar itu sendiri. 

Menurutnya, meskipun berlaku bekalan elektrik terputus kira-kira dua jam ketika proses pengiraan undi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, masalah tersebut berpunca daripada kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bukannya unsur sabotaj. Manickavasagam menegaskan bahawa beliau menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk mengadakan undian semula atau pun kiraan semula undi. 

"Abdul Khalid tewas kerana tidak menjaga keperluan pengundi di kawasan tersebut yang mana di kampung kelahirannya sendiri iaitu di Pasir Tuntong, penduduk berdepan masalah air dan jalan raya yang teruk. "Sudah kalah sudahlah. Terimalah kekalahan dan datang bertanding tiga tahun lagi tetapi pastikan kerja kuat bantu pengundi seperti yang saya lakukan jika mahu menang," katanya.

Selain itu, Manickavasagam juga turut menyifatkan bahawa khidmat Menteri Besar Selangor itu sudah tidak diperlukan lagi kerana rakyat serta penyokong PKR sendiri sudah jemu dengan pemimpin yang hanya tahu menipu, berjanji kosong serta yang hanya pandai menabur fitnah semata mata.

"Kita tidak mahu pemimpin yang tipu rakyat dan hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya serta menabur fitnah macam-macam. "Semua parti dalam pakatan pembangkang juga telah menolak beliau dan ini adalah masanya yang sesuai untuk beliau berundur."