Shah Alam, 02 Jul - Negeri Selangor yang dahulunya dikenali dengan jolokan negeri terkaya di Malaysia bakal menghadapi masa depan yang gelap sekiranya kerajaan negeri dibawah naungan PKR tidak selesaikan masalah-masalah yang dihadapinya sekarang ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan berkata bahawa kemelut pemilihan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini jelas memperlihatkan kegagalan pemimpin tertinggi PKR dalam mengurus tadbir pemilihan parti yang akhirnya mengundang ketidakstabilan sehingga menjadi huru hara dan penuh dengan konflik serta penyelewengan.
Beliau berkata, konflik pemilihan kepimpinan PKR semakin melarat apabila kekecohan turut berlaku di cabang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyaksikan beliau akhirnya kecundang di cabangnya sendiri. Beliau menyifatkan kekalahan Khalid Ibrahim ini sekaligus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin didalam parti tersebut telah gagal serta tidak layak untuk parti tersebut memimpin negara kerana konflik dalaman partinya sendiri tidak dapat diselesaikan.
"Saya agak bimbang dengan perkembangan yang berlaku di dalam PKR hari ini. Ini memandangkan jelas bahawa parti PKR yang menjadi pentadbir Selangor kini dalam keadaan huru hara dengan pelbagai konflik dan dakwaan penyelewengan, blackout dan sebagainya, yang turut berlaku di cabang Menteri Besar sendiri.
"Apakah pemimpin yang tidak mampu untuk mentadbir parti sekecil itu, mampu untuk mentadbir sebuah negeri dengan baik? Jika beginilah parti yang mana pemimpinnya sendiri sudah tidak mampu membendung penyelewengan dan unsur rasuah di dalam partinya sendiri, apakah mereka mampu untuk membendung penyelewengan dan rasuah apabila memerintah negeri atau negara?
"Kebimbangan saya ini berasas berdasarkan pengalaman krisis air yang berlaku di Selangor, akibat sikap tidak cerdik pemimpin PKR yang lebih banyak bermain politik, akhirnya telah menyebabkan sebahagian besar rakyat di negeri ini merana.
"Bahkan sehingga hari ini, krisis air yang telah banyak memberikan kesan kepada rakyat dan juga ekonomi di negara ini masih belum selesai," tegasnya.
Menurut Halimaton, rakyat terus diheret dalam isu peribadi dan dalaman parti yang mungkin ada kepentingan bagi pihak tertentu. "Sedang dalam Selangor masih bergelut dengan krisis air yang tidak selesai, kepimpinan PKR pula sibuk bermain politik menjatuhkan sesama sendiri akibat perebutan kuasa untuk menduduki takhta kerusi Menteri Besar," tegas beliau.
Justeru daripada itu, Halimaton menyeru seluruh rakyat di Selangor agar beriltizam agar negeri ini dapat dikembalikan semula di bawah pentadbiran BN pada PRU yang akan datang, agar Selangor kembali gah dan terus menjadi negeri maju yang dapat memberikan limpahan kemakmuran kepada rakyat di negeri Selangor ini.
No comments:
Post a Comment