Tuesday, June 10, 2014

HANYA KERANA RM50, ANAK BERTINDAK GANAS


KUALA TERENGGANU - Angkara RM50! Seorang anak bukan sahaja tergamak memaki hamun bapanya, malah turut bertindak agresif dengan menendang serta merosakkan pintu rumah mereka sehingga berlubang apabila kehendaknya itu tidak dipenuhi warga emas tersebut. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam, di Kampung Bukit Tunggal, di sini, Sabtu lalu. Menurut sumber, sebelum insiden berlaku, mangsa yang berusia 64 tahun sedang berehat bersama isterinya berusia 60-an, di kediaman mereka dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan kepulangan suspek.

“Suspek yang berusia 25 tahun itu dalam keadaan marah-marah memaksa mangsa menyerahkan wang RM50 kepadanya sambil menendang pintu bilik, bagaimanapun, tidak lama kemudian keadaan kembali senyap. “Mangsa yang menyangkakan suspek sudah beredar, keluar untuk membuat pemeriksaan dan ternampak anaknya itu sedang berada di dalam bilik sebelum suspek tiba-tiba keluar sambil membawa sesuatu di tangannya,” katanya.

Jelas sumber, terkejut dengan situasi itu serta bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa terus menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam biliknya sambil mengunci pintu sebelum terdengar bunyi ketukan di pintu biliknya, dipercayai menggunakan sebatang tukul. “Tindakan suspek itu telah menyebabkan papan bilik mangsa rosak serta berlubang dan melihatkan keadaan anaknya yang semakin agresif itu, warga emas berkenaan nekad menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan. 

“Namun, sejurus mengetahui bapanya menghubungi polis, anak derhaka itu melarikan diri menggunakan motosikal milik mangsa,” katanya. Sumber berkata, sebelum ini, suspek dikatakan pernah menggadaikan motosikal jenis Yamaha 125Z milik salah seorang adik-beradiknya kepada pengedar dadah. Jelasnya lagi, difahamkan suspek kerap mengugut mangsa sekiranya ingin mendapatkan wang dan tindakan itu menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, kerana tidak sanggup melayan kerenah suspek, selain bimbang akan keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang. 

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Mengamuk kerana gagal dapat RM30 Sementara itu, di Dungun, hanya kerana kehendaknya untuk mendapatkan wang RM30 tidak dilayan, seorang abang seolah-olah ‘hilang akal’ apabila mengamuk dengan mengugut mahu membunuh adik tirinya, dalam satu kejadian di Kampung Sungai Buaya, Sabtu lalu. 

Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berehat di rumah mereka sebelum dihampiri suspek, 30-an, dengan selamba meminta wang RM30. “Bagaimanapun, mangsa yang sudah lali dengan perangai abangnya itu yang selalu meminta wang, tidak menghiraukan permintaan tersebut menyebabkan lelaki terbabit naik angin. 

“Suspek yang bagaikan dirasuk itu dalam masa sama bertindak agresif apabila mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya masih berdegil tidak mahu menyerahkan wang yang diminta,” katanya. Jelas sumber lagi, difahamkan kejadian seumpama ini sudah kerap kali berlaku, yang mana suspek akan bertindak mengugut menggunakan senjata bagi menakutkan mangsa setiap kali meminta wang. 

“Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang sudah tidak tahan lagi berdepan dengan situasi tersebut serta dalam masa sama bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Dungun bagi tindakan pihak berkuasa,” katanya. 

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kini usaha memburu suspek sedang giat dijalankan. Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

MALAYSIA MAHU WUJUDKAN POLIS SYARIAH BAWAH JAKIM


Putrajaya, 10 Jun - Kementerian Dalam Negeri kini bersedia menempatkan anggota Polis serta Pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Polis Syariah untuk membantu Jabatan berkenaan menangani kes-kes berkait dengan umat Islam di Malaysia. 

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, PDRM hanya menunggu Jabatan Perkhidmatan Awam mewujudkan jawatan berkenaan di JAKIM dan PDRM yakin mampu mengisi kekosongan berkenaan. Menurut beliau, PDRM mempunyai pegawai dan anggota yang bersesuaian untuk menggalas tugasan tersebut. Beliau berkata, langkah ini sekaligus dapat membantu JAKIM mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga kesucian agama Islam di negara ini. 

"Ramai anggota polis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ada yang memiliki ijazah daripada universiti tempatan atau luar negara dalam bidang agama dan kami bersiap siaga untuk menempatkan pegawai kami ke Jakim," katanya dalam sidang media di sini Isnin. Zahid juga berkata, tiada tempoh yang ditetapkan untuk penempatan anggota PDRM di JAKIM itu dan menyerahkan usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi perjawatan itu daripada JPA kepada JAKIM. 

Zahid berkata, sebelum ini terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan polis syariah sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan. Zahid sebelum itu menghadiri majlis makan tengah hari dan ceramah bersama Ulama Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah bersempena kunjungan hormat imam dan khatib Masjid Saidina Jaafar, Jordan, di kementeriannya semalam. 

Beliau menyifatkan penempatan anggota PDRM sebagai Polis Syariah itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan JAKIM dalam membanteras semua kesalahan jenayah syariah di negara ini. -SUMBER

MAUT DIBAHAM ANJING JIRAN


DUA wanita di Britain dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas anjing mereka dibiarkan kelaparan selama 45 jam membaham seorang lelaki. Anjing spesies Presa Canario milik Hayley Sulley, 30, dan Della Woods, 29, itu dipercayai menceroboh laman kediaman jiran mereka selepas ia tertarik dengan bau masakan stew daging yang disediakan mangsa dalam kejadian menggemparkan pada Mei tahun lalu. Clifford Clarke, 79, terpaksa bergelut dengan haiwan itu selama 15 minit sebelum ia ditembak mati pihak berkuasa. 

Bekas pesara tentera itu meninggal dunia di hospital akibat cedera parah. Seorang jurucakap polis turut menyifatkan kejadian itu adalah paling mengerikan sepanjang kerjayanya. Sementara itu, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, anjing tersebut sangat lapar kerana ia cuba untuk memakan bekas makanan plastik, puntung rokok, makanan burung dan minum air kotor sebelum menyerang Clarke.

Susulan daripada kejadian itu, Liverpool Crown Court turut melarang mereka memelihara anjing pada masa akan datang. Hakim Mark Brown memberitahu Sulley dan Woods amat bernasib baik kerana kedua-dua wanita tersebut tidak didakwa melakukan pembunuhan seperti yang terkandung dalam undang-undang baharu di negara itu. 

“Mereka mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara 14 tahun jika disabit kesalahan,’ katanya lagi dipetik Daily Mail. Difahamkan, hukuman lebih tegas telah diperkenalkan di England dan Wales, bulan lalu susulan daripada kematian mengerikan akibat serangan anjing yang meningkat di kedua-dua kawasan terbabit. Hukuman penjara maksimum kerana menyebabkan anjing menyerang individu lain hingga menyebabkan kematian telah dilanjutkan dari 24 bulan kepada dua tahun.

ZAIRIL CEMBURU TPM GUNA PESAWAT KHAS KERAJAAN


Kuala Lumpur, 10 Jun - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Australia yang disifatkan lebih kepada makan angin. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri itu hanya meluangkan masa selamat empat hari pertama di Melbourne, di mana beliau menghadiri Forum Ekonomi Dunia Ke-4 dari 10 November sehingga 18 November 2012. 

Menurut Zairil, Muhyiddin telah bergegas bersama rombongannya ke Gold Coast, Brisbane, setelah selesai program Forum Ekonomi Dunia Ke-4 tersebut. "Dalam empat hari penuh dihabiskan di Gold Coast, aktiviti TPM hanya sekitar dua jam sehari secara purata. "Kebanyakan aktiviti ini pula merupakan taklimat ringkat selama satu jam dam majlis makan malam yang santai, pertemuan dengan pelajar dan Kelab Umno.

Tambah beliau, lawatan TPM ini bukan sahaja hanya dipenuhi dengan lawatan peribadi tetapi turut menafikan kakitangan kementerian apabila tiada penglibatan mereka dalam kedua-dua lawatan rasmi TPM. Menurut Zairil lagi, rombongan Muhyiddin itu disertai 17 orang yang terdiri daripada enam pegawai peribadi, lima pegawai khas, dua setiausaha akhbar, masing seorang setiausaha sulit dan setiausaha politik termasuk beliau dan isterinya.

Zairil juga turut mempersoalkan mengapa Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan pesawat khas kerajaan dan juga menginap di hotel mewah sepanjang lawatan 4 hari berkenaan. 

Namun begitu, tindakan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera ini dilihat seolah-olah sengaja mahu menjatuhkan imej serta kredibiliti Timbalan Perdana Menteri tersebut kerana mempersoalkan lawatan kerjanya namun tidak pula mempersoalkan kredibiliti Anwar Ibrahim yang selama ini sering melancong ke luar negara kononnya untuk urusan negara sedangkan Anwar hanyalah sekadar Ahli Parlimen Permatang Pauh sahaja.