Tuesday, June 10, 2014

KIT SIANG MARAH DILABEL RASIS


Kuala Lumpur, 09 Jun - Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan pihak berkuasa kerana membiarkan dirinya dilabelkan sebagai rasis oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia. Beliau mendakwa sikap pihak berkuasa yang berdiam diri dan seolah-olah memberi ‘lesen penuh’ kepada beberapa pertubuhan mendakwa dirinya rasis. 

Kit Siang juga mempertikaikan mengapa pihak berkuasa begitu tegas mengambil tindakan terhadap pembangkang jika mereka melakukan kritikan serta serangan jahat seumpama itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Adakah polis dan Peguam Negara akan berdiam diri dan membenarkan pembohongan, kepalsuan dan fitnah dibuat secara terbuka terhadap Najib?" 

"Apakah respons pihak berkuasa jika ada pertubuhan bukan-Melayu yang bersikap seperti Isma dengan terbuka menyerang Najib sebagai anti-Cina dan anti-India, serta menuduhnya mahu menghapuskan orang Cina dan India di Malaysia? 

Mengapa mereka tidak berbuat apa-apa terhadap racauan fitnah dan adu-domba yang dibuat Isma?" katanya dalam satu kenyataan Kit Siang berang apabila Pertubuhan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) mendakwa Kit Siang memusuhi Melayu sejak dari tahun 60-an dan menyifatkan DAP sebagai barah didalam politik Malaysia. 

Walau bagaimanapun, Kit Siang menyifatkan bahawa serangan ISMA keatas dirinya itu tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya kerana beliau yakin sehingga ke hari ini beliau masih mendapat sokongan yang padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Menurut Kit Siang lagi, ratusan penyokongnya didalam laman-laman sosial menasihati beliau supaya mengambil tindakan menyaman ISMA.

"Ada ratusan reaksi di internet mengenai tuduhan liar Isma dan menasihati saya agar jangan pedulikan Isma dan ada pula yang menggesa saya menyaman mereka. Saya berterima kasih terhadap sokongan ini." Kit Siang turut memaklumkan akan menunggu nasihat peguam berhubung kemungkinan tindakan undang-undang terhadap NGO itu. SUMBER

Friday, June 6, 2014

TINDAKAN JAIS SERBU UPACARA PERKAHWINAN HINDU TEPAT - PROF. DR. AZNAN HASAN


Bangi, 06 Jun - Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Prof Madya Dr Aznan Hasan menyokong tindakan JAIS menghentikan upacara perkahwinan hindu dan menyifatkan menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutamanya institusi agama mencegah supaya tidak berlaku perkara bertentangan dengan syarak, iaitu perkahwinan wanita Islam dengan pasangan bukan Islam. "Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa. 

Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan. "Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam," tegasnya. Dr. Aznan menjelaskan, siasatan JAIS itu adalah untuk memastikan adakah wanita tersebut seorang muslimah yang sebenar atau muslimah sekadar pada nama seperti yang didakwa olehnya.

"Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu langkah saddu al-zarai’ (menghalang daripada berlaku satu kemungkaran)," katanya lagi. Beliau turut membidas kenyataan NGO liberal, Sistera in Islam (SIS) apabila menganggap punca hal itu berlaku adalah kerana adanya hukum syarak yang meletakkan pengislaman agama bagi anak bawah umur apabila salah seorang (satu pihak) dari ibu bapa masuk Islam. 

Menurut beliau, dalam kes ini, kita perlu membezakan antara hukum syarak dan kesalahan yang dilakukan oleh bapa tersebut (jika ada), dan jelas dalam syarak apabila salah seorang ibu bapa masuk Islam maka anak-anaknya turut akan masuk Islam. "Tetapi dalam hal ini yang menjadi masalah adalah bapa tersebut tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik serta seorang bapa yang bertanggungjawab. Isunya pada bapa bukannya pada hukum syarak.

"Jadi penyelesaian dalam kes ini adalah dengan kita bersama-sama memperbaiki sistem pengurusan muallaf (orang yang baru masuk Islam). "Ianya bagi memastikan mereka mendapat didikan dan panduan yang menyeluruh supaya mereka menjadi seorang muslim yang baik dan bertanggungjawab dengan itu kes seperti ini tidak akan berulang," ujarnya lebih lanjut. 

Beliau yang juga merupakan Prof Madya di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menganggap tindakan Jabatan Agama tersebut sebagai satu langkah mencegah kemungkaran. SUMBER

Thursday, June 5, 2014

PRO PAKATAN MARAH NAJIB SAMAN MALAYSIAKINI?


Kuala Lumpur, 5 Jun - Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman keatas portal Malaysiakini yang memfitnah beliau berhubung krisis Umno Terengganu, satu NGO pro Pakatan mengecam Najib dan menyifatkan Perdana Menteri itu sebagi seorang yang zalim terhadap media. 

Jurucakap Gerakan Media Marah (GERAMM), Fazallah Pit mendakwa, Najib sengaja mahu memberi tekanan kepada media dan tidak mengamalkan kebebasan bersuara di negara ini. “Najib menggunakan isu teknikal untuk ambil tindakan terhadap Malaysiakini. “Tindakan ini ialah satu bentuk tekanan kepada media,” tegasnya. 

Fazallah yang tidak pernah pertikaikan Ketua Umum parti Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim yaang menyaman Utusan Malaysia sebelum ini menyifatkan bahawa tindakan Datuk Seri Najib ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional benar-benar mengawal media di negara ini dan mengambil tindakan kepada mana-mana media yang tidak mengikuti beliau. 

Faazallah Pit juga turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri itu tidak menggunakan ruang yang diberi portal berita tersebut untuk membuat penafian terhadap artikel yang disiarkan. “Kenapa beliau tidak menggunakan ruang yang disediakan oleh Malaysiakini untuk memberi penjelasan berhubung isu yang disiarkan itu?” soalnya. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel yang berunsur fitnah pada Mei lalu. Najib selaku plaintif kedua mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini atas kapasiti peribadi beliau manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Mei lalu, mereka menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. Pengurusan kes ditetapkan pada 18 Jun depan. SUMBER

PKR BANTAH SISTEM SUBSIDI MINYAK


Kuala Lumpur, 05 Jun - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli membantah cadangan sistem subsidi baru petrol dan diesel yang diwar-warkan akan dilaksanakan pada awal september nanti. Rafizi mendakwa sistem baru tersebut akan membebankan rakyat dan juga kemungkinan akan mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel. Sebelum ini, terdapat ura-ura dari kerajaan untuk melaksanakan sistem bru pengurusan subsidi minyak.

Antara yang dipertimbangkaan ialah pemansuhan subsidi bagi rakyat berpendapatan RM5000 keatas dan juga kenderaan 2000cc dan keatas. Rafizi mendakwa perkara tersebut akan disembunyikan oleh Putrajaya tanpa mengumumkan kenaikan harga minyak tetapi jumlah isipadu yang dibeli pengguna akan kurang. "Pengguna akan mendapat isipadu petrol atau diesel yang lebih sedikit pada harga yang sama walaupun tiada sebarang kenaikan harga minyak akan diumumkan oleh Barisan Nasional," katanya. 

Menurut Rafizi, tindakan kerajaan melaksanakan sistem subsidi baru bagi membanteras penyeludupan minyak ini hanyalah satu usaha yang sia-sia kerana ianya akan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat melakukan penyeludupan minyak bersubsidi ini. 

"Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa. 

"Contohnya jika harga subsidi seliter petrol RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 seliter, pasaran gelap boleh berlaku apabila kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 seliter kepada ejen pasaran gelap, manakala ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 seliter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli melalui pasaran gelap," ujarnya. 

Pengarah Strategi PKR itu menyifatkan bahawa penyeludupan minyak bersubsidi ini akan sentiasa berlaku kerana ketamakan rakyat menjadi orang tengah menjual minyak subsidi yang diperuntukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat ke pasaran gelap. SUMBER