Monday, June 2, 2014

DYANA SOFYA KALAH SEBAB "MELAYU"?


Kuala Lumpur, 02 Jun - Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan yang berlangsung pada Sabtu lepas menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya iaitu Datuk Mah Siew Keong berjaya menewaskan lawannya Dyana Sofya yang mewakili DAP dengan majoriti 238 undi. Datuk Mah memperolehi 20,157 undi sementara calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat itu pula memperoleh 19,919 undi. 

Susulah kekalahan yang dihadapi oleh calon DAP itu, PAS menyifatkan golongan muda di negara ini berasa agak kecewa dengan kekalahan tersebut kerana kononnya mereka telah menaruh sepenuh harapan agar Dyana akan membawa’obor’ perjuangan politik baru ke arena politik Malaysia bersama-sama dengan pemimpin muda lain. 

PAS juga dalam pada itu menyifatkan bahawa Dyana hanya kalah di PRK Teluk Intan tetapi telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia yang tidak mengira bangsa dan kaum. Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, antara faktor-faktor yang menyebabkan calon DAP itu kalah pada PRK tersebut ialah mungkin kerana calonnya Dyana Sofya Mohd Daud adalah seorang Melayu. 

Beliau menyifatkan bahawa ahli-ahli DAP di kawasan tersebut masih belum boleh menerima idea meletakkan calon Melayu itu kerana peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini rendah iaitu 66.5 peratus berbanding kira-kira 80 peratus pada PRU lepas. Beliau juga menyifatkan kekalahan tersebut mungkin kerana calonnya muda dan tidak mendapat sokongan daripada golongan muda sendiri. 

Perkara ini jelas membuktikan bahawa terdapat keraguan didalam Pakatan Rakyat apabila pelbagai alasan-alasan yang bertentangan disuarakan berkenaan dengan kekalahan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat itu sendiri. Namun kesimpulannya disini ialah rakyat di kawasan Teluk Intan melihat BN sebagai sebuah parti yang ke depan untuk menyatakan suara rakyat dalam suasana politik negara ini. SUMBER

No comments:

Post a Comment