PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan diadakan jika penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengosongkan kerusi itu sebelum 21 Jun ini.
"Tapi, jika Taib mengosongkan kerusi itu selepas tarikh itu, SPR tidak lagi perlu mengadakan sebarang pilihan raya kecil bukan sahaja di kawasan berkenaan, tetapi di seluruh Sarawak," katanya.
Mengikut Undang-undang Tubuh negeri pilihan raya kecil tidak akan diadakan jika terdapat sebarang kekosongan dalam tempoh dua tahun Dewan Undangan Negeri tamat tempoh.
Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat ialah pada 20 Jun 2016 dan dua tahun bermula pada 21 Jun 2014.
Abdul Aziz berkata, SPR sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan PRK di DUN Balingian.
Abdul Aziz berkata, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu diadakan dalam 60 hari selepas berlaku kekosongan kerusi.
Taib, 77, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang disandangnya lebih tiga dekad sejak 1981, berkuat kuasa 28 Feb ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADUN Balingian, yang dimenanginya dalam Pilihan Raya negeri Sarawak pada 2001.
Sebelum ini, beliau pernah menjadi ADUN Sebandi yang kemudian ditukar nama kepada Asajaya sejak 1981 sebelum berpindah ke Balingian. - Bernama
No comments:
Post a Comment