Friday, April 18, 2014

Kibar Bendera Separuh Tiang, Hormati Mendiang Karpal Singh

KUALA LUMPUR: Bendera di pejabat DAP di seluruh negara akan dikibar separuh tiang bagi mengenang pemergian pemimpin kebangsaan, Karpal Singh. Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng berkata, sebagai penghormatan untuk Karpal dan untuk mengenang beliau, DAP menangguhkan kesemua acara dan majlis parti di seluruh negara sehingga ke suatu tempoh selepas upacara pengkebumian. 

“Semua pejabat DAP di seluruh negara juga diminta untuk mengibarkan bendera separuh tiang selama seminggu sebagai mengenang pemergian tokoh kita,” kata Lim. Penghormatan terhadap jenazah akan dimulakan pada jam 3 petang di rumah Karpal Singh di 144A Jalan Utama, Pulau Pinang. Jenazah akan diarak pada jam 11 pagi, Ahad, 20 April, ke Batu Gantong Crematorium, Pulau Pinang. 

Lim berkata Karpal telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong selama 8 penggal, selain menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah dan Pulau Pinang untuk empat penggal bermula pada tahun 1974. “Selama 40 tahun, Karpal telah mengabdikan dirinya kepada perjuangan menegakkan keadilan.”

“Dengan pemergian beliau, DAP kehilangan seorang pemimpin yang berani dan luar biasa. Negara kehilangan seorang ahli perundangan yang pintar, manakala rakyat pula hilang “harimau” yang gagah membela nasib golongan miskin, kurang berkemampuan dan terpinggir,” kata Lim. Lim berkata beliau bertuah kerana sempat meluangkan masa dalam tahanan bersama beliau di Kem Tahanan Kamunting. 

Ketika itu beliau mengalami sakit belakang yang teruk, namun beliau enggan mengalah. "Bersama rakan seperjuangan yang akrab, Lim Kit Siang, Karpal berdepan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad," tambah Lim. Karpal ditimpa kemalangan pada tahun 2005, menyebabkannya lumpuh dari bahagian pinggang ke kaki. 

Bagaimanapun, beliau mengatasi kelumpuhan dan meneruskan perjuangan dalam DAP untuk membentuk Malaysia yang lebih baik. “Karpal menjadi orang kurang upaya pertama memenangi kerusi parlimen sebanyak dua kali dengan beza undi yang besar,” kata Lim.

No comments:

Post a Comment